
GWM MALAYSIA SERAH WEY G9 Hi4 PHEV KEPADA MOF UNTUK PENILAIAN POC
GWM Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam usaha memperkukuh kehadirannya di negara ini apabila MPV hibrid plug-in (PHEV) pemasangan tempatan (CKD), GWM WEY G9 Hi4 PHEV, menyertai Program Penilaian Proof of Concept (POC) anjuran Kementerian Kewangan (MOF).
Kenderaan itu diserahkan kepada kementerian berkenaan menerusi kerjasama dengan SPANCO Sdn. Bhd. dan diterima oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam (PAM), Kementerian Kewangan, Datuk Alan Abdul Rahim, bersama pegawai MOF serta wakil SPANCO.
Penyertaan model tersebut dalam program penilaian itu dilihat sebagai satu langkah penting, selaras dengan usaha syarikat memperluaskan operasi dan meningkatkan penglibatan dalam industri automotif tempatan.
Selain melaksanakan pemasangan tempatan, GWM Malaysia terus memperkukuh keupayaan operasinya menerusi pengembangan rangkaian jualan dan selepas jualan, di samping membawa teknologi global serta kepakaran dalam bidang kenderaan tenaga baharu kepada pasaran tempatan.
WEY G9 Hi4 PHEV merupakan model MPV premium tenaga baharu utama GWM, dibangunkan berteraskan konsep “First Class for All”, dengan penekanan terhadap keselesaan premium, teknologi pintar dan tahap keselamatan yang tinggi.
GWM Malaysia berkata, peluang untuk WEY G9 Hi4 PHEV dinilai dalam penggunaan sebenar armada kerajaan merupakan satu pengiktirafan terhadap teknologi dibawanya, selain membuka ruang kepada syarikat untuk terus memperkukuh pelaburan dan memperluaskan jejaknya di Malaysia.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada MOF dan SPANCO atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program penilaian tersebut.



