HONDA DEDAH JENTERA KONSEP SEMPENA MILAN FASHION WEEK – PROTOTAIP CBR750R?
Honda telah pun mengumumkan kolaborasi bersama jenama ikonik Jepun, Onitsuka Tiger sempena Milan Fashion Week.
Kerjasama itu menyaksikan Honda mendedahkan jentera konsep yang diberi nama Onitsuka Tiger Honda Mid Sports Concept.

Meskipun hanya konsep namun model tersebut memaparkan rupa seperti sebuah motosikal Honda yang sebenar sekaligus memberi bayangan adakah ini Honda CBR750R yang didakwa dalam pembangunan?
Beberapa bahagian seperti panel badan, bentuk enjin dan casis kelihatan diambil terus dari CB750 Hornet namun dibezakan dengan penggunaan hondlebar jenis clip-on dan fairing hadapan.

Menariknya, fork depan kelihatan lebih besar dari Hornet di sementara pakej brek pula mengguna pakai brek Brembo. Swingarm juga berbeza dan tidak sama seperti yang terdapat pada Hornet mahupun CBR650R sekaligus memberi bayangan Honda membangunkan reka bentuk baharu.
Bahagian papan pemuka juga menampakkan penggunaan meter TFT di samping butang switchgear yang serba lengkap.

Meskipun dilabel sebagai konsep namun memandangkan rupa keseluruhan model ini kelihatan sempurna dan seakan ‘ready for production’, ini mungkin ‘teaser’ dari Honda untuk kemunculan CBR750R.
Ketika ini platform 750 hanya diguna pakai pada model naked (CB750 Hornet) dan adventure (XL750 Transalp) dan kemunculan CBR750R pastinya melengkapkan keluarga 750.








