
RENAULT 8 GORDINI HIDUP SEMULA, KINI BERKUASA ELEKTRIK!
Renault terus memanfaatkan warisan model klasiknya dengan memperkenalkan semula Renault 8 Gordini dalam bentuk kenderaan elektrik moden.
Namun, tidak seperti model produksi, kebangkitan semula ikon era 1960-an itu hanya hadir sebagai sebuah kereta konsep unik yang dibangunkan dalam jumlah satu unit sahaja.
Diperkenalkan di Renault Carwalk yang terletak di Champs-Élysées, Paris, model berkenaan turut dijadualkan dipamerkan kepada umum sempena Paris Motor Show 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 18 Oktober ini.
Renault 8 Gordini Concept dibangunkan sebagai penghormatan kepada salah satu model prestasi paling terkenal dalam sejarah jenama Perancis itu.
Walaupun mengekalkan elemen reka bentuk asal seperti jalur berkembar berwarna putih yang menjadi identiti Gordini, model baharu ini tampil jauh lebih agresif dengan dimensi lebih lebar, rendah dan berinspirasikan kereta rali moden.

Menurut Naib Presiden Rekaan Renault, Alexandre Malval, projek tersebut bertujuan menggabungkan warisan jenama dengan teknologi masa depan tanpa sekadar bergantung kepada unsur nostalgia.
Model konsep itu mempunyai panjang 4.12 meter, lebar 1.88 meter dan tinggi hanya 1.27 meter. Ia turut dipadankan dengan rim 19-inci di hadapan serta 20-inci di belakang bagi menghasilkan imej lebih dinamik dan berprestasi tinggi.
Berbeza dengan Renault 8 Gordini asal yang menggunakan enjin belakang berkuasa 95hp, versi moden ini dilengkapi motor elektrik berkuasa 200kW, sekali gus menawarkan prestasi jauh lebih mengagumkan berbanding model klasik tersebut.
Bahagian hadapan kereta direka dengan wajah agresif menerusi elemen berbentuk V serta enam lampu utama yang memberikan identiti tersendiri. Renault bagaimanapun tidak mendedahkan butiran teknikal lain seperti kapasiti bateri atau jarak pemanduan, sebaliknya memberi tumpuan kepada aspek reka bentuk dan ekspresi visual.
Menurut Renault, Renault 8 Gordini asal yang diperkenalkan pada tahun 1964 terkenal sebagai sebuah kereta berprestasi tinggi yang mampu memberikan pengalaman pemanduan menyeronokkan, malah pernah menjadi platform latihan kepada ramai pemandu perlumbaan terkenal Perancis.
Menariknya, pembangunan Renault 8 Gordini Concept dilakukan sepenuhnya oleh pasukan dalaman Renault. Projek itu bermula menerusi pertandingan reka bentuk dalaman yang menerima lebih 300 lakaran daripada pereka syarikat tersebut.
Daripada ratusan cadangan yang dikemukakan, dua reka bentuk terbaik dipilih untuk dibangunkan dalam bentuk model skala sebelum digabungkan bagi menghasilkan reka bentuk akhir.
Walaupun tiada rancangan pengeluaran diumumkan setakat ini, Renault 8 Gordini Concept membuktikan bagaimana model legenda boleh diberi nafas baharu dalam era elektrifikasi tanpa menghilangkan identiti asal yang menjadikannya begitu istimewa.


