ELVIS PRESLEY BELI CADILLAC INI DAN BAGI PERCUMA KEPADA DOKTOR! KINI UNTUK DIJUAL
Adalah perkara biasa untuk kita temui hartawan atau personaliti yang mempunyai kereta hebat. Koleksi kenderaan yang dikumpul sehingga boleh dijadikan sebuah muzium.
Ini pula Cadillac Fleetwood Brougham 1975 milik Elvis Presley yang kini dibuka untuk jualan melalui bidaan dalam talian Car & Classic. Di sebalik kereta ini ada satu cerita menarik.
Elvis Presley membeli Fleetwood Brougham berwarna kuning ini secara terus dari Madison Cadillac Inc pada tahun 1974.
Beliau memesan unit ini dengan bumbung suria, lima tayar Vogue serta aksesori lain dan membayar AS 12,512.
Apa yang menarik? Elvis Presley dikatakan telah membeli lebih daripada 200 buah Cadillac sepanjang umurnya.
Beliau akan menggunakannya dalam tempoh masa tertentu sebelum menghadiahkannya kepada keluarga dan kenalan.
Cadillac yang dibeli pada tahun 1974 ini pula dihadiahkan kepada doktor beliau pada tahun 1976. Dr G. Nichopoulos menggunakan Cadillac ini sebelum menjualnya pada tahun 1985.
Pemilik ketiga iaitu Bruno Tillander menggunakan kereta ini selama lima tahun dan menjualnya pada tahun 1990.
Pemilik keempat iaitu Franz Heel pula memilikinya untuk satu tempoh yang lama dari tahun 1990 dan kini bersedia untuk melepaskannya.
Walaupun bidaaan diuruskan syarikat dari UK, kereta ini berada di Sweden dan tawaran akan dibuka pada 8 Januari yang juga tarikh kelahiran Elvis Presley.
Dari segi keadaan, berdasarkan gambar yang dikongsi unit ini masih lagi dalam keadaan baik namun selari dengan usia memerlukan beberapa pembaikan atau tidak perlu pun bagi memelihara keasliannya.
Kereta ini tidak pernah dibaik pulih dan komponen seperti balutan stereng sudah retak, vinyl tercabut dan koyak.
Papan pemuka berada dalam keadaan baik dengan meter dan paparannya terang dan jelas. Radio asal masih ada dengan butang dan tombol semuanya kekal di tempatnya.
Kereta ini juga canggih dengan kerusi elektrik, kawalan jelajah, tingkap berkuasa dan perehat kaki untuk kerusi belakang.
Ada yang berminat? Rujukan kami pada 10 Januari menunjukan bidaan tertinggi bernilai 11,000 Euro (RM52,486)!
BACA: CADILLAC CT5-V BLACKWING – APABILA GAYA EKSLUSIF DAN SPORTY DIGABUNGKAN
BACA: CADILLAC ESCALADE BAHARU. INI BARULAH SUV GAYA LEBIH AMEEEREKA