Buletin

TAKAMOTO KATSUKA YAKIN UNTUK TAMPIL CEMERLANG DI SAFARI RALLY KENYA

Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Takamoto Katsuka berkata kelajuan yang beliau perolehi sewaktu di Rally Italia Sardegna memberikan keyakinan untuk beliau tampil lebih hebat di Safari Rally Kenya pada 22 – 25 Jun nanti.

Bintang Jepun ini mempunyai rekod yang agak membanggakan dalam perlumbaan ke tujuh WRC yang berpusat di Naivasha, dengan berada di podium dalam dua perlumban terakhir sebelum ini. Walau pun harapannya untuk mendapatkan keputusan yang serupa di Itali agak terjejas dengan pendekatan yang terlalu bersemangat ketika melewati lopakan air yang besar minggu lalu, namun beliau tetap kekal positif menjelang perlumbaan di Kenya.

Menurut Takamoto Katsuka, “Malangnya ketika SS8 saya tersilap mengambil pendekatan untuk menghadapi lopakan air. Ianya terlalu dalam dan saya pula terlalu laju dan terpaksa membrek ketika mula mendekatinya hingga mengakibatkan kerosakan yang besar dan tidak dapat meneruskan aksi”.

“Ketika menyambung semula perlumbaan pada Ahad, saya berasa sangat baik tentang kereta dan cuba untuk mengejar dalam aksi Wolf Power Stage. Kami berjaya mendapatkan beberapa mata penting dan ianya sangat bagus untuk mengakhiri perlumbaan sebegini. Saya menantikan rali di Kenya dan berharap mendapat keputusan yang baik di sana nanti.” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Prinsipal pasukan Jari-Matti Latvala mempertahankan prestasi pemandu Jepun tersebut sambil menyatakan bahawa pemandunya telah mempamerkan kelajuan yang diperlukan walau pun terpaksa berdepan dengan rali yang agak mencabar di Itali.

“Kami tahu bahwa dia memiliki kecepatan untuk bersaing di podium, dan sekarang kita hanya perlu mencuba untuk mendapatkan konsistensi. Sekali lagi, dia menunjukkan dalam saingan Wolf Power Stage dengan waktu ketiga terpantas, ketika beliau dalam mood pantas menyerang, kelajuannya akan ada. Sekarang dia akan menantikan aksi di Kenya, yang mana kita ketahui bahawa itu salah satu rali kegemarannya.” tambah Jari-Matti Latvala

Prestasi Takamoto Katsuka musim ini barangkali sedikit terumbang ambing, walau pun beliau masih berupaya mencatatkan beberapa catatan masa terpantas namun podium yang dicari masih belum tiba. Belum rezeki lagi. Ketika ini, Takamoto Katsuka berada di kedudukan kelapan keseluruhan dengan mengumpul 23 mata sahaja.

Mungkinkah Safari Rally Kenya nanti memungkinkan Takamoto Katsuka akhirnya berjaya mendapatkan podium buat pertama musim ini sekali gus mengulangi pencapaian gemilang beliau dua musim sebelumnya?

Sementara itu, Kalle Rovanpera juga mengharapkan keputusan yang baik untuk aksi di Kenya kelak bagi mengulangi pencapaian memenangi perlumbaan tersebut pada tahun lepas. Dengan aksi di Itali beliau hanya berupaya menduduki tempat ketiga, tetapi tetap mengutip mata penting bagi menjarakkan pungutan mata di hadapan Thierry Neuville dengan kelebihan 25 mata

BACA : SAFARI RALLY KENYA 2022 – APA YANG MENARIK TENTANGNYA

BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA SAFARI RALLY KENYA YANG PENUH DENGAN DRAMA

Google ads

B K

Back to top button