Buletin

CEO FERRARI, LOUIS CAMILLERI LETAK JAWATAN

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari, Louis Camilleri meletak jawatan secara mengejut daripada hierarki pengeluar kenderaan Itali itu.

Terdahulu, beliau dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 turut meletak jawatan serta-merta sebagai Pengerusi Philip Morris International, syarikat gergasi tembakau yang disandang selama empat dekad.

Lelaki berusia 65 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan selepas dimasukkan ke hospital.

Menurut kenyataan Ferrari, beliau meletak jawatan tanpa sebarang alasan terperinci malah melepaskan jawatan dalam ahli lembaga Ferrari.

Wall Street Journal melaporkan Pengerusi Ferrari, John Elkann akan bertindak sebagai CEO sehingga lantikan baharu dilakukan.

Camilleri menggalas tugas CEO pada bulan Julai 2018, menggantikan Sergio Marchionne yang meninggal dunia akibat komplikasi berhubung kepada pembedahan.

“Ferrari telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya dan berkhidmat sebagai CEO syarikat merupakan satu penghormatan.

“Saya kagum dengan lelaki dan wanita Maranello yang luar biasa kerana semangat serta dedikasi mereka terhadap apa dilakukan tanpa mengenal batasan.

“Bahkan, saya berbangga dengan banyak pencapaian syarikat sejak tahun 2018 dan yakin tahun-tahun terbaik Ferrari akan datang,” kata Camilleri dalam satu kenyataan. – carscoops

Google ads
Back to top button