
FERRARI SPIDER SEWA TERBALIK, TERBAKAR!!!
Sebuah jentera, Ferrari Spider terbalik dan terbakar apabila seorang pemandu hilang kawalan dan terlibat dalam satu nahas jalan raya, awal pagi kelmarin di Chicago, Amerika Syarikat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, jentera sport terbabit dipandu mangsa berusia 22 tahun dengan seorang penumpang berumur 20 tahun itu terbabas di selekoh Oak Street, Lake Shore Drive.
Sumber mendakwa kereta dipandu laju merempuh penghadang di Lake Shore Drive sebelum terbalik dan terbakar, lapor stesen televisyen CBS 2.
Difahamkan kenderaan berkenaan disewa untuk digunakan pada hujung minggu.
Sebuah Ferrari Spider baharu dianggarkan bernilai AS$300,000 (RM1.2 juta).
Menurut pihak polis, kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Northwestern Memorial.
Mangsa dikatakan sedang memandu menuju ke utara bandar ketika kemalangan berlaku. – agensi