Artikel Pilihan

AKSI TANDEM SUPRA TANPA PEMANDU – INILAH HASIL KAJIAN TOYOTA DAN STANFORD

Toyota Research Institute (TRI) dan Stanford Engineering telah bergabung tenaga dalam menghasilkan jentera drift autonomi pertama yang berjaya menghasilkan aksi tandem. Pergh, jadi siapa-siapa pun boleh buat aksi drift ke macam mana ni? Tak lah. Ini sebenarnya dilakukan atas nama keselamatan.

Kedua pasukan tersebut telah menggunakan teknologi AI yang membolehkan kedua jentera drift Toyota Supra menggelongsor dan ‘menari’ secara harmoni. Ia bukan dilakukan semata-mata untuk mencantikkan penampilan fotografi macam ayat ‘pakar brek cakera bercahaya’ sebelum ini tapi demi memastikan pemanduan menjadi lebih selamat di masa akan datang.

Drifting ni memang nampak hebat jika dilakukan dengan sempurna tapi ia memerlukan kawalan kereta yang sangat baik untuk dilakukan. Apatah lagi untuk aksi tandem yang memerlukan dua buah kereta bergerak secara selari dalam kelajuan tinggi.

Sebab itulah tak ramai pelumba yang mampu melakukannya. Antara yang mampu melakukannya dalam mimpi mestikan The Prince of Mentakab sendiri, Abang Japar Onitsuka.

Kemahiran mengawal kereta bukan hanya bermanafaat dalam perlumbaan tapi ia juga mampu menyelamatkan nyawa dalam keadaan tertentu. Nak pulak bagi pemandu amatur yang selalu kelam kabut bila terlibat dalam kemalangan. Sebab itulah program ini diperkenalkan.

Macam mana teknologi ini bakal diguna pakai di jalan raya? Sebenarnya teknik kawalan sewaktu aksi drift hampir sama dengan pengalaman memandu di jalan raya berais. Pemandu amatur pun kadang-kadang terpaksa memandu dalam keadaan jalan raya serba licin yang menyukarkan pemanduan.

Jadi jika kawalan kereta diambil alih oleh sistem keselamatan dalam keadaan tersebut kemungkinan besar peratusan untuk selamat adalah lebih tinggi. Nampak macam agak tak logik kan? Tapi kena ingat kebanyakan ciri keselamatan sekarang seperti cermin pandang belakang, brek cakera dan struktur perlanggaran memang berasal dari dunia perlumbaan. Jadi kenapa tidak teknologi baharu seperti ini.

Google ads
"
"
Back to top button