
CHERY MALAYSIA DEDAH TIGGO CROSS SPORT EDITION, LANCAR TAK LAMA LAGI
Chery Malaysia memberikan gambaran pertama mengenai model baharu dalam barisan TIGGO CROSS menerusi pratonton eksklusif TIGGO CROSS Sport Edition, yang dijangka diperkenalkan secara rasmi kepada pasaran tempatan bulan hadapan.
Model edisi khas itu dibangunkan dengan inspirasi daripada semangat kesukanan yang menjadi sebahagian daripada identiti jenama Chery sejak sekian lama.
Pengeluar automotif itu sebelum ini aktif menyokong pelbagai acara sukan dan atlet, termasuk di peringkat antarabangsa serta tempatan.
Selepas terlibat dalam penganjuran dan sokongan beberapa acara sukan utama, termasuk kejohanan badminton Piala Lee Chong Wei, Chery terus mengukuhkan kehadirannya dalam komuniti sukan dan e-sukan.
Antara kerjasama terkini termasuk sebagai rakan mobiliti rasmi KL Women Running Festival serta rakan automotif rasmi Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia Musim 18.
Mengangkat tema yang sama, TIGGO CROSS Sport Edition hadir dengan penampilan lebih berkarakter menerusi penambahan kit badan sporty, merangkumi spoiler lip aerodinamik pada bahagian hadapan dan belakang.
Sentuhan tersebut bukan sahaja meningkatkan imej dinamik model berkenaan, malah memberikan identiti yang lebih menonjol berbanding versi standard.
Pada peringkat awal, TIGGO CROSS Sport Edition akan ditawarkan secara eksklusif menerusi varian Turbo.
Bagaimanapun, spesifikasi penuh, harga dan butiran lanjut hanya akan diumumkan ketika pelancaran rasminya nanti.
Dalam perkembangan berkaitan, Chery turut mengumumkan bahawa sempena sambutan ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), hadiah utama bagi kempen Legenda Musim 18 telah dinaik taraf kepada sebuah TIGGO CROSS Sport Edition, sekali gus memberikan peluang kepada komuniti permainan itu untuk memiliki model edisi khas berkenaan.
Pelancaran rasmi TIGGO CROSS Sport Edition dijangka berlangsung dalam masa terdekat, dengan lebih banyak maklumat akan didedahkan oleh Chery Malaysia dalam beberapa minggu akan datang.



