
MAZDA3 1.5 LIFTBACK: ELEGAN DI MATA, MENYERONOKKAN DI JALANAN
Dalam pasaran automotif hari ini, jarang sekali kita melihat sebuah model menerima lebih banyak kelengkapan, lebih banyak teknologi dan lebih banyak ciri keselamatan, tetapi ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding sebelumnya. Namun itulah yang berlaku kepada Mazda3 1.5 Liftback 2026.
Lebih menarik, Mazda3 1.5 Liftback turut disertakan dengan waranti lima tahun serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun, menjadikannya antara tawaran paling menarik dalam segmen hatchback premium ketika ini.

REKAAN JEPUN YANG TERUS MENARIK PERHATIAN
Sudah tujuh tahun sejak generasi terkini Mazda3 diperkenalkan, namun reka bentuknyamasih kelihatan segar dan moden. Ini membuktikan falsafah reka bentuk Kodo Mazda berjaya menghasilkan sebuah model yang tidak cepat dimamah usia.
Mazda3 1.5 Liftback tampil dengan rim aloi 18-inci bersaiz 215/45 R18 yang memberikan penampilan lebih sporty dan premium. Ia juga dilengkapi lampu nyalaan siang Mazda Signature LED yang menjadi identiti model-model Mazda moden.
Bagi memudahkan pemanduan harian, model ini turut menerima sensor parkir hadapan, sesuatu yang tidak terdapat pada sesetengah pesaing dalam julat harga sama.
Sistem Adaptive Front Lighting System pula membolehkan lampu utama mengikut arah streng ketika membelok, membantu pencahayaan lebih baik di jalan berselekoh pada waktu malam.
Turut melengkapkan pakej pencahayaan ialah High Beam Control yang mengawal penggunaan lampu tinggi secara automatik serta sensor hujan yang mengaktifkan pengelap apabila hujan dikesan.

Kabin premium yang biasanya ditemui pada model lebih mahal
Masuk ke dalam kabin dan jelas Mazda3 1.5 Liftback cuba menawarkan pengalaman yang berbeza daripada hatchback biasa.
Gabungan balutan kulit merah pada tempat duduk dan papan pemuka mewujudkan suasana premium yang sering dikaitkan dengan model Eropah yang jauh lebih mahal.
Paparan infotainment kini bersaiz 10.25-inci. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay tanpa wayar, membolehkan pengguna menyambungkan telefon pintar tanpa memerlukan kabel.
Keselesaan turut dipertingkatkan menerusi sistem penyaman udara dwi-zon, tempat duduk pemandu berkuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon tanpa wayar serta panel meter digital tujuh inci yang memberikan maklumat pemanduan secara lebih moden.

Bagi mereka yang gemar memandu secara aktif, paddle shifter di belakang steering membolehkan pertukaran gear dilakukan dengan lebih pantas dan menyeronokkan.
Ruang tempat duduk belakang pula boleh dianggap seimbang. Ia tidak terlalu luas, namun masih menawarkan keselesaan mencukupi untuk penumpang dewasa.
Terdapat perehat tangan tengah dan dua port USB untuk kemudahan pengecasan peranti, walaupun kedudukannya terletak di bahagian tengah belakang.

Pakej keselamatan yang semakin lengkap
Salah satu peningkatan terbesar Mazda3 1.5 Liftback ialah dari aspek keselamatan.
Model ini kini menerima Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), dua ciri yang membantu pemandu mengenal pasti kenderaan di titik buta sertaketika mengundur keluar dari petak parkir.
Turut disertakan ialah kamera undur, Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LAS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang menjadikan pemanduan jarak jauh lebih selesa.
Dari sudut pencegahan kemalangan, Mazda3 turut dilengkapi sistem brek kecemasan autonomi untuk bahagian hadapan dan belakang. Kehadiran teknologi ini membantu mengurangkan risiko pelanggaran dalam situasi tertentu.

Enjin 1.5 liter yang menekankan keseimbangan
Di bawah bonet terletak enjin Skyactiv-G 1.5 liter aspirasi semula jadi yang menghasilkan 118hp dan 153Nm tork.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan yang terkenal dengan karakter penukaran gear yang lancar dan responsif.
Walaupun angka kuasanya mungkin tidak kelihatan mengagumkan di atas kertas, dan transmisi ini sebenarnya direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih semula jadi dan menyeronokkan, selaras dengan falsafah Jinba Ittai Mazda yang menekankan hubungan antara pemandu dan kenderaan.

Menyeronokkan untuk dipandu, menjimatkan untuk dimiliki
Dalam penggunaan harian, Mazda3 1.5 Liftback menawarkan keseimbangan yang sukar dicari dalam banyak model moden.
Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih bertenaga, mod Sport boleh diaktifkan untuk memberikan respons pendikit yang lebih pantas.
Penggunaan paddle shifter pula membolehkan pemandu mengawal titik pertukaran gear secara manual bagi memaksimumkan prestasi ketika memotong atau melalui jalan berbukit.

DNA sporty Mazda masih kekal
Apa yang benar-benar membezakan Mazda3 daripada kebanyakan pesaing ialah cara ia dikendalikan.
Sistem G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) berfungsi mengoptimumkan agihan beban kenderaan ketika membelok melalui pelarasan tork enjin dan penggunaan brek secara halus. Hasilnya, stereng terasa lebih tepat, pergerakan badan lebih terkawal dan pemanduan menjadi lebih yakin.
Walaupun menggunakan suspensi belakang jenis torsion beam, talaan sasis Mazda membuktikan bahawa pengalaman pemanduan tidak semestinya bergantung kepada spesifikasi di atas kertas semata-mata.
Mazda3 masih menawarkan pengendalian yang tajam, stabil dan menyeronokkan sama ada di lebuh raya mahupun jalan berselekoh.
Nilai yang sukar ditandingi
Dengan harga bermula RM119,900, Mazda3 1.5 Liftback kini menawarkan pakej yang sukar ditandingi dalam segmennya.
Ia diimport sepenuhnya dari Jepun, hadir dengan waranti lima tahun serta penyelenggaraan percuma lima tahun, dilengkapi teknologi keselamatan moden, kabin premium dan pengalaman pemanduan yang masih menjadi penanda aras dalam kelasnya.
Dalam erti kata lain, Mazda3 1.5 Liftback bukan sekadar menjadi lebih mampu milik. Ia juga menjadi lebih bernilai.



