Buletin

PROTON e.MAS CECAH 40,000 UNIT, PERLUAS SOKONGAN UNTUK PEMILIK EV

PROTON menerusi anak syarikatnya, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), mencatat satu lagi pencapaian penting apabila jumlah kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS yang berada di jalan raya kini mencecah 40,000 unit sejak model itu diperkenalkan pada tahun 2024.

Ketua Pegawai Penjenamaan PRO-NET, Salawati Mohd Yusoff berkata, kejayaan berkenaan bukan hanya merujuk kepada jumlah kenderaan yang berjaya diserahkan kepada pelanggan, tetapi turut menggambarkan kepercayaan diberikan oleh ribuan pemilik terhadap jenama Proton e.MAS.

Menurut beliau, setiap unit yang diserahkan membawa kisah dan pengalaman tersendiri, selain menjadi bukti perkembangan komuniti pengguna EV yang semakin aktif di seluruh negara.

Katanya, pelbagai aktiviti komuniti telah dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara pemilik, termasuk program pertemuan santai yang berjaya menghimpunkan hampir 1,000 peserta serta platform dalam talian yang membolehkan pengguna berkongsi pandangan, pengalaman dan maklum balas mengenai kenderaan mereka.

Beliau berkata, komuniti Proton e.MAS kini berkembang di beberapa negeri utama termasuk Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang, sekali gus membantu memperkukuh ekosistem pemilikan EV di Malaysia.

Bersempena pencapaian itu, PRO-NET turut mengumumkan beberapa manfaat tambahan kepada pelanggan meliputi aspek servis, penyelenggaraan, ganjaran digital dan kemudahan pengecasan.

Antaranya termasuk insentif tukar beli tambahan sehingga RM1,000 melalui kerjasama dengan Carsome bagi pelanggan yang layak, selain potongan harga sebanyak 10 peratus untuk kerja penyelenggaraan dan servis yang dijalankan sepanjang Oktober.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan industri EV tempatan, PRO-NET juga meneruskan kerjasama dengan MARA bagi melahirkan lebih ramai juruteknik EV bertauliah yang mampu memenuhi keperluan sektor automotif elektrik yang semakin berkembang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pencapaian 40,000 unit itu menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus mempertingkatkan pengalaman pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Beliau berkata, fokus syarikat bukan sekadar kepada jualan, sebaliknya memastikan pemilik menerima nilai tambah melalui rangkaian sokongan selepas jualan, akses kepada kemudahan pengecasan yang lebih meluas, pelbagai program ganjaran serta pembangunan bakat tempatan dalam sektor EV.

Dari sudut digital, aplikasi Proton e.MAS terus dipertingkatkan dengan pelbagai fungsi termasuk sistem ganjaran untuk pengguna.

Pada masa sama, aplikasi itu kini membolehkan pemilik mengakses lebih 5,100 titik pengecasan di seluruh negara menerusi kerjasama dengan 12 penyedia perkhidmatan pengecasan.

Pelanggan turut menikmati kadar pengecasan pantas DC yang ditawarkan pada harga tidak melebihi RM1.20 bagi setiap kilowatt-jam, selain potongan harga 10 peratus di lokasi pengecasan terpilih sehingga penghujung tahun ini.

PRO-NET turut memaklumkan bahawa syarikat akan terus memperluaskan rangkaian hab pengecasan e.MAS yang dilengkapi kemudahan pengecasan berkuasa tinggi bagi memenuhi pertumbuhan jumlah pengguna EV di negara ini.

Dalam majlis sama, Noor Azira Ismail diumumkan sebagai pemilik ke-40,000 Proton e.MAS dan menerima penyerahan sebuah Proton e.MAS 7 Premium Plus berwarna hitam sebagai simbolik pencapaian bersejarah tersebut.

Google ads
Back to top button