
SEDAN TERMAHAL BYD BAKAL TAMPIL DENGAN SOLID STATE BATTERY, SISTEM DIPILOT 600
BYD dilihat semakin agresif memperluaskan pengaruhnya dalam industri automotif global apabila jenama mewah miliknya, Yangwang, sedang membangunkan sebuah sedan perdana baharu yang dijangka bersaing secara langsung dengan model mewah seperti Rolls-Royce Phantom, Bentley Flying Spur dan Mercedes-Maybach.
Model yang masih dirahsiakan itu baru-baru ini dikesan menjalani ujian dengan balutan penyamaran penuh.
Walaupun kebanyakan reka bentuknya masih tersembunyi, saiz badan yang besar dan kehadiran model itu jelas menunjukkan ia bakal menjadi model paling eksklusif dalam portfolio Yangwang setakat ini.
Bahagian hadapan sedan tersebut dipercayai menampilkan gril bersaiz besar bersama rekaan lampu utama yang menyerupai SUV Yangwang U8. Lampu berkenaan turut dikatakan menggunakan elemen kristal berbentuk kubus bagi memberikan sentuhan premium.

Dari sudut sisi, model ini menampilkan jarak roda yang sangat panjang, sekali gus memberi petunjuk bahawa ruang kabin, khususnya untuk penumpang belakang, akan menjadi antara keutamaan utama. Ia juga dilengkapi pintu belakang jenis “coach door”, ciri yang sering dikaitkan dengan model-model ultra mewah keluaran Rolls-Royce.
Tingkap tambahan di belakang tiang-C turut memberi gambaran bahawa sedan ini direka untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan eksklusif kepada penumpang barisan kedua.
Dari segi teknologi, prototaip berkenaan dilihat menggunakan sensor LiDAR yang dipasang di atas cermin hadapan. Ini menunjukkan ia berkemungkinan dilengkapi sistem bantuan pemanduan separa autonomi DiPilot 600, teknologi terkini yang sedang dibangunkan BYD.

Tidak seperti Rolls-Royce Phantom yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman, sedan baharu Yangwang dijangka ditawarkan sepenuhnya sebagai kenderaan elektrik (EV). Menariknya, model ini juga dikatakan berpotensi menjadi EV pertama BYD yang menggunakan teknologi bateri keadaan pepejal (solid-state battery).
Teknologi bateri tersebut dianggap sebagai langkah besar dalam pembangunan EV kerana menawarkan ketumpatan tenaga lebih tinggi, masa pengecasan lebih pantas serta tahap keselamatan yang lebih baik berbanding bateri lithium-ion konvensional.
Sebelum ini, Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li, mengesahkan bahawa syarikat itu merancang memperkenalkan EV pertama berasaskan bateri keadaan pepejal menjelang 2027.

Memandangkan kos pembangunan teknologi itu masih tinggi, penggunaan pada model perdana mewah dilihat sebagai platform paling sesuai sebelum ia diperluaskan ke model lain pada masa hadapan.
Dengan kemunculan sedan baharu ini, BYD bukan sahaja mahu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran EV global, malah turut menunjukkan kesediaannya untuk mencabar jenama-jenama mewah Eropah yang sekian lama mendominasi segmen kenderaan ultra premium.









