Buletin

OPS LUXURY: BERGAYA KERETA MEWAH, 12 TAHUN TAK BAYAR CUKAI JALAN DAN INSURANS

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan ada dalam kalangan pemilik kenderaan tampil mewah dan bergaya, tetapi culas memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Perkara itu dikesan menerusi Ops Luxury sepanjang tempoh Jun 2025 sehingga semalam apabila 3,790 kenderaan disita telah disita.

Lebih mengejutkan, terdapat pemilik kenderaan mewah yang didapati tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak 2014, bermakna kenderaan berkenaan berada di jalan raya tanpa perlindungan insurans dan cukai jalan yang sah untuk tempoh bertahun-tahun.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesalahan berkenaan merupakan antara kesalahan paling banyak dilakukan pemilik kenderaan mewah yang terdiri daripada golongan T20, termasuk ahli korporat, usahawan kosmetik dan pempengaruh.

“Paling mengejutkan adalah ada antara pemilik kenderaan mewah ini tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak 2014 lagi.

“Bayangkan berapa lama kenderaan itu berada di atas jalan tanpa cukai jalan dan insurans,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kelantan Panji di sini hari ini.

Muhammad Kifli memberitahu , Ops Luxury dilancarkan bagi memastikan semua kenderaan mewah yang berada di jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.

Katanya, JPJ turut mengesan alasan baharu diberikan pemilik kenderaan mewah, iaitu enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kesalahan lampau yang paling banyak dikesan ialah gagal mematuhi ketetapan had laju atau mempunyai saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas).

“Kalau pemilik kenderaan daripada golongan berpendapatan rendah boleh menyelesaikan saman dan memperbaharui cukai jalan, kenapa pemilik kenderaan mewah ini tidak boleh berbuat demikian?

“Sedangkan mereka terdiri daripada golongan T20, tetapi enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans. Lebih penting, tidak membayar saman yang telah dikenakan kepada mereka. Ini kesalahan serius,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli berkata, Negeri Sembilan merekodkan jumlah sitaan kenderaan mewah tertinggi sepanjang pelaksanaan Ops Luxury dengan 469 kenderaan.

Katanya, Selangor merekodkan jumlah sitaan kedua tertinggi dengan 410 kenderaan, diikuti Kuala Lumpur (382), Johor (367) dan Pulau Pinang (357).

“Kelantan merekodkan jumlah sitaan ketujuh tertinggi, iaitu sebanyak 251 kenderaan mewah, selepas Perak (293 kenderaan). Pahang mencatat jumlah sitaan kelapan tertinggi (245 kenderaan), diikuti Kedah (225 kenderaan) dan Melaka (207 kenderaan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button