
VOYAH DREAM 9 T ERIMA LEBIH 30K TEMPAHAN DALAM 48 JAM
VOYAH DREAM 9 menjadi antara tarikan utama dalam program VOYAH Intelligent Luxury Tour yang berlangsung di Wuhan, China pada 21 September 2026 menjelang pelancaran global MPV flagship berkenaan pada 22 September.
Program tersebut menghimpunkan wakil media antarabangsa dari beberapa pasaran Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia, selain dari Hong Kong. Media berpeluang mengunjungi fasiliti pembuatan VOYAH serta merasai sendiri beberapa model kenderaan tenaga baharu premium keluaran jenama berkenaan, termasuk DREAM 9.
Salah satu lokasi yang dikunjungi ialah VOYAH Huangjin Factory di Wuhan dimana pengunjung berpeluang melihat operasi barisan pengeluaran yang menggunakan sistem automasi termasuk sistem penghantaran bahan di bahagian atas serta robot AGV yang bergerak di dalam kawasan pemasangan akhir.

Setiap kenderaan turut mempunyai identiti digital tersendiri yang membolehkan proses pengeluaran dijejaki daripada komponen individu sehingga kenderaan siap sepenuhnya. Menurut VOYAH, penggunaan teknologi seperti 5G, big data dan kecerdasan buatan membolehkan kilangnya melaksanakan pengeluaran yang lebih fleksibel dan berasaskan digital.
Sistem pengeluaran tersebut membolehkan model sedan, MPV dan SUV dihasilkan pada barisan pemasangan yang sama melalui sistem pengeluaran bercampur secara rawak. Gabungan kilang VOYAH Huangjin dan VOYAH Yunfeng pula mempunyai kapasiti pengeluaran keseluruhan sehingga 450,000 kenderaan setahun, dengan keupayaan menghasilkan sebuah kenderaan setiap kira-kira 40 saat.
Selain kilang, media turut dibawa ke pusat pengguna pelbagai fungsi yang terletak bersebelahan VOYAH Huangjin Factory. Kemudahan yang dikatakan sebagai kedai flagship terbesar VOYAH di China itu mempunyai keluasan lebih daripada 30,000 meter persegi dan menggabungkan ruang pameran kenderaan, konfigurasi kenderaan, pengalaman jenama, penyelenggaraan selepas jualan serta pengecasan ultra pantas.

VOYAH membangunkan sendiri pelbagai teknologi utama termasuk sistem rangkaian kuasa elektrik, sistem casis, kokpit pintar, teknologi pemanduan pintar dan pembuatan kenderaan. Pada masa sama, portfolio VOYAH kini merangkumi model SUV, MPV dan sedan, dengan lebih 400,000 pengguna di seluruh dunia menurut syarikat tersebut.
Sebelum pelancaran global, DREAM 9 dilaporkan telah menerima sambutan awal yang tinggi. Dalam tempoh hanya 48 jam selepas tempahan dibuka, lebih 30,000 tempahan telah diterima. Menurut VOYAH, varian tertinggi Li Zun Edition menyumbang lebih daripada 50 peratus daripada jumlah tempahan tersebut, manakala lebih 20,000 tempahan datang daripada pemilik VOYAH sedia ada yang mahu menaik taraf atau menggantikan kenderaan mereka.
Dari segi ruang kabin, DREAM 9 menggunakan konsep “Embracing Heaven and Earth” bersama susun atur yang digambarkan sebagai “One Cabin, Eight Scenarios”. Konsep tersebut membolehkan ruang dalaman disesuaikan untuk pelbagai kegunaan, termasuk perjalanan, santai dan urusan perniagaan.

Tempat duduk baris kedua menggunakan kerusi jenis zero-gravity yang boleh diputar pada pelbagai sudut. Menurut VOYAH, konfigurasi tersebut membolehkan penumpang mengubah susunan dan posisi tempat duduk mengikut keperluan, sekali gus memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada ruang kabin.
Dalam perkembangan global pula, VOYAH kini telah memasuki 40 negara dan wilayah serta mempunyai lebih daripada 240 pusat jualan dan servis di luar China. Syarikat itu menyatakan strategi globalnya kini memberi tumpuan kepada pengukuhan kehadiran di Eropah, pengembangan di Timur Tengah serta kemasukan ke pasaran yang menggunakan pemanduan sebelah kanan.
Bagi pasaran Malaysia perkembangan ini turut menarik perhatian kerana Malaysia merupakan antara negara yang menggunakan konfigurasi pemanduan sebelah kanan. Press release tersebut bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus harga, spesifikasi teknikal, tarikh pelancaran atau status jualan DREAM 9 di Malaysia.






