
VOYAH PASSION S DIKAJI UNTUK PASARAN MALAYSIA
Kehadiran jenama Voyah di Malaysia berpotensi menjadi lebih besar daripada sekadar menawarkan sebuah model flagship selepas Volt Auto mengesahkan kemasukan MPV mewah Dream 9 ke pasaran tempatan. Voyah kini sedang menilai kemungkinan membawa masuk dua lagi model elektrik iaitu Passion S dan Courage.
Buat masa ini kedua-dua model tersebut masih berada pada peringkat penilaian dan belum ada pengesahan rasmi mengenai tarikh pelancaran, harga atau spesifikasi khusus untuk pasaran Malaysia. Tetapi sekiranya rancangan itu direalisasikan, Voyah bakal mempunyai rangkaian produk yang lebih lengkap merangkumi MPV premium serta SUV elektrik dalam beberapa segmen.
Antara model yang menarik perhatian ialah Voyah Passion S, sebuah SUV elektrik bersaiz besar yang membawa pendekatan reka bentuk lebih sporty berbanding SUV konvensional. Model ini mempunyai panjang 5,050 mm, lebar 1,998 mm, tinggi 1,656 mm serta jarak roda 3,000 mm.

Di China, Voyah Passion S ditawarkan dengan sistem pacuan roda belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD). Versi RWD menggunakan satu motor elektrik pada gandar belakang dengan kuasa sekitar 408 PS. Varian tertinggi pula menggunakan konfigurasi dua yang menghasilkan sehingga 646 PS dan 765 Nm, membolehkan SUV elektrik itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat.
Sistem kuasa tersebut dipadankan dengan bateri berkapasiti 81.6 kWh atau 98.1 kWh. Bergantung kepada konfigurasi, Passion S mampu mencapai jarak sehingga 630 km atau 740 km berdasarkan kitaran CLTC. SUV ini menggunakan seni bina elektrik 800 volt serta menyokong teknologi pengecasan pantas 5C yang membolehkan pengecasan dibuat dari 20 hingga 80% dalam masa sekitar 10 minit.
Dari aspek casis pula, Passion S menggunakan suspensi double wishbone di hadapan dan sistem five-link di belakang. Varian tertinggi turut dilengkapi spring udara dan penyerap hentak adaptif. Teknologi bantuan pemanduan juga menjadi antara ciri utama Passion S dimana model ini menggunakan sistem Huawei Qiankun ADS 5 yang disokong empat unit lidar, termasuk satu lidar 896 serta tiga unit lidar jenis solid-state.

Di dalam kabin, sistem infotainmen menggunakan platform Huawei HarmonySpace 5.2 yang menggabungkan dengan skrin tengah 15.6 inci, paparan instrumen digital 8.8 inci dan paparan head-up berasaskan realiti terimbuh berukuran 29 inci. Varian lebih tinggi turut boleh dilengkapi sistem audio 27 pembesar suara serta peti sejuk 6.6 liter.
Untuk pasaran Malaysia, Voyah dijangka beroperasi melalui rangkaian pengedar dan bilik pameran tersendiri yang berasingan daripada jenama Dongfeng. Model pertama yang telah disahkan ialah Dream 9, yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan pada suku pertama 2027.
Sekiranya Passion S dan Courage turut mendapat lampu hijau, kedua-dua SUV elektrik itu boleh menjadi pelengkap kepada Dream 9 dan memberikan Voyah rangkaian model yang lebih luas di Malaysia. Namun begitu, Volt Auto Malaysia masih belum mengesahkan sama ada kedua-dua model berkenaan benar-benar akan dilancarkan di negara ini.









