Buletin

CHERY O5 RASMI DILANCARKAN – HARGA BERMULA RM116K

Chery hari ini secara rasmi melancarkan model facelift Omoda 5 untuk pasaran tempatan, namun kali ini dengan identiti baharu.

SUV tersebut kini dikenali sebagai Chery O5, tanpa lagi menggunakan penjenamaan Omoda | Jaecoo, sekaligus menegaskan strategi syarikat untuk menyatukan rangkaian model di bawah jenama Chery.

Chery menyifatkan O5 sebagai “revolusi atas roda” dengan penampilan lebih berani, sistem pintar generasi baharu serta prestasi pemanduan yang dipertingkatkan.

Model ini mula diperkenalkan di Rusia pada tahun lalu sebelum menembusi pasaran Indonesia dan Australia dengan nama Chery C5, memberi gambaran jelas tentang spesifikasi yang akan ditawarkan di Malaysia.

Mengikut falsafah reka bentuk “Art in Motion”, bahagian hadapan O5 menampilkan gril berbentuk berlian, lampu nyalaan siang (DRL) baharu serta bampar depan dengan gaya X yang lebih agresif. Ia turut dipadankan dengan rim aloi 18-inci rekaan semula dengan kemasan hitam berkilat.

Bahagian dalaman kekal dengan susun atur yang sama, termasuk paparan dwi-skrin LCD 10.25 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk hadapan berpengudaraan serta kemasan kulit tiruan.

Kelengkapan lain termasuklah;

  • Tempat duduk berliang
  • Sistem pendingin hawa dua hala
  • Fungsi arahan suara
  • Sistem audio Sony
  • Lapan-pembesar suara

Berbanding model sedia ada, Chery O5 dilengkapi sistem suspensi belakang multilink bagi menggantikan tetapan torsion beam, menjanjikan kawalan lebih stabil dan selesa.

Di sebalik bonet, enjin 1.5 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 156hp dan 230Nm masih dikekalkan, tetapi kali ini dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan menggantikan kotak CVT lama.

Dari segi keselamatan, ia menampilkan enam beg udara, sistem bantuan pemanduan Tahap 2 (Level 2 ADAS) serta kamera pandangan sekeliling 540 darjah.

Untuk harga pula, Chery O5 ditawarkan pada harga bermula RM116,800.

GALERI:

Google ads
Back to top button