VOLVO XC60 2025 TIBA DI MALAYSIA – ANGGARAN HARGA BERMULA RM333K
Selepas memperkenalkan EX90 dan XC90 pada April lalu, Volvo Car Malaysia kini memperkenalkan versi kemaskini bagi model paling larisnya, XC60.
Sejak dilancarkan, lebih 6,200 unit SUV premium ini telah terjual di Malaysia, manakala jualan global mencecah hampir 2.7 juta unit.

XC60 baharu hadir dengan gril hadapan atletik, sistem suspensi udara Volvo serta teknologi pemanduan pintar terkini. Ia ditawarkan dalam dua varian elektrifikasi:
- XC60 T8 AWD Plug-in Hybrid – anggaran harga bermula RM367,888
- XC60 B5 AWD Mild Hybrid – anggaran harga bermula RM333,888
Bahagian luaran menampilkan rekaan gril baharu bersama lampu LED ‘Thor Hammer’ dan pilihan warna Forest Lake serta Bright Dusk.

Di dalam kabin, ia menawarkan keselesaan premium dengan tempat duduk ergonomik, pengecas tanpa wayar yang lebih praktikal, ruang simpanan fleksibel serta sistem penapis udara canggih yang menyingkirkan sehingga 95 peratus partikel berbahaya.
Sistem infotainmen pula menggunakan skrin 11.2-inci dengan Google built-in, akses kepada Google Maps, Spotify, Waze serta kawalan suara melalui Google Assistant. Pilihan sistem audio Bowers & Wilkins juga disediakan untuk pengalaman bunyi bertaraf konsert.
Dari segi kuasa, varian B5 Mild Hybrid dikuasakan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat silinder bersama sistem mild hybrid 48 volt dengan Integrated Starter Generator (ISG), sama seperti model sebelumnya.

Ia menghasilkan 263PS pada 6,000rpm dan tork 390Nm antara 1,800 hingga 4,800rpm. Kuasa dihantar ke semua roda melalui transmisi automatik 8-kelajuan.
Bagi varian T8 Plug-in Hybrid, ia turut menggabungkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat silinder dengan motor elektrik belakang, menghasilkan output keseluruhan 462PS dan 709Nm.
Sistem pacuan e-AWD bersama transmisi automatik 8-kelajuan ini dipadankan dengan bateri 18.8kWh (naik taraf daripada 11.6kWh sebelum ini), menawarkan jarak pemanduan elektrik penuh sehingga 89km (WLTP).
Dari segi keselamatan, semua varian dilengkapi teknologi bantuan pemandu seperti adaptive cruise control, lane keeping assist dan sistem elak pelanggaran, digabungkan dengan struktur keselamatan Volvo yang terkenal kukuh.
GALERI:




















