
HUSQVARNA 701 SUPERMOTO, 701 ENDURO 2026 DIUMUMKAN – 79HP, 73NM
Husqvarna Mobility memperkenalkan 701 Supermoto dan 701 Enduro baharu bagi tahun 2026 dengan kedua-dua model ini menerima naik taraf signifikan.
Pelancaran model baharu ini sudah pun dijangka apabila KTM mengumumkan ketibaan 690 SMCR dan 690 Enduro 2026 baru-baru ini.
Husqvarna 701 Supermoto

Bagi tahun 2026, model ini dinaik taraf dengan skrin TFT 4.2-inci yang menampilkan info lebih jelas antaranya RPM dan petunjuk gear. Skrin tersebut juga digunakan untuk akses riding mode, traction control dan ABS.
701 Supermoto dilengkapi dengan Supermoto+ ABS secara standard. Sistem ini merupakan naik taraf dari Supermoto ABS pada generasi sebelumnya.

Menariknya, Supermoto+ ABS membenarkan penunggang untuk slide tayar belakang dengan lebih mudah ketika memasuki selekoh. Ketika senario ini berlaku, ABS kekal diaktifkan bagi tayar hadapan. Sport ABS pula membenarkan penunggang membrek dengan lebih agresif tanpa ABS mencelah sekaligus mengekalkan kawalan yang optimum.

Atas kertas, 701 Supermoto dipacu enjin satu satu silinder LC4 yang berupaya menjana 79hp meningkat dari 74hp sebelum ini. Platform tersebut telah dinaik taraf bagi mencapai emisi Euro 5+ terbaru. Berat keseluruhan motosikal ini hanya 152kg.
Bagi tahun 2026, 701 Supermoto menawarkan pakej elektronik berikut:
- Supermoto+ ABS
- Sport ABS
- Track Mode (Launch Control, Anti-Wheelie, Motor Slip Regulation, Slip Adjuster)
Pakej brek pula terdiri dari brek Brembo 4-piston tunggal di bahagian depan dan brek 2-piston di bahagian belakang. Suspensi pula terdiri dari fork WP Apex 48mm di bahagian depan dengan jarak gerak 224mm dan WP Apex Pro linkage di bahagian belakang dengan jarak gerak 240mm. Jarak kelegaan tanah pula diletakkan pada 237mm.
Husqvarna 701 Enduro

Bagi 701 Enduro, ciri baharu diperkenalkan adalah Dynamic Slip Adjust (DSA) yang berfungsi menyelaraskan secara automatik tahap gelincir tayar belakang berdasarkan tahap MTC (Motorcycle Traction Control).
Sebagai contoh, sekiranya penunggang melanggar petak berlumpur dalam keadaan MTC di tahap tinggi, sistem DSA akan membenarkan tayar berpusing dengan lebih tanpa menyekat kuasa enjin. Sebaik cengkaman tayar belakang kembali, tahap MTC akan kembali kepada tetapan asal.

Selain itu pakej elektronik ditawarkan termasuk Ride Mode yang terdiri dari Standard, Street dan Off-Road manakala mod Rally adalah opsyen tambahan. Mod Rally menawarkan fungsi seperti Dynamic Slip Adjust dan Motor Slip Regulation.
Casis pula mengekalkan kerangka steel trellis jenis chromium-molybdenum yang memuatkan tangki bahan api berkapasiti 13L. Kerangka ini telah diperkuatkan bagi tahun 2026.

Ketika Husqvarna 701 Supermoto dilengkapi dengan suspensi WP APEX yang telah ditala khas untuk tunggangan agresif di jalan raya dan litar, 701 Enduro pula menawarkan suspensi WP XPLOR 48mm depan dan WP XPLOR Pro-Lever linkage. Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 935mm dengan jarak kelegaan tanah berada pada 265mm.
Husqvarna mendakwa aliran kuasa lebih linear dan terkawal terutamanya pada RPM rendah. Enjin ini turut dilengkapi dengan fuel pump baharu serta sistem ekzos yang telah dikemas kini dengan kedudukan catalytic converter diubah.

Hasilnya, jarak antara servis bagi 701 Enduro dan 701 Supermoto kini diletakkan pada setiap 15,000km manakala valve clearance pula pada setiap 30,000km.
Bagi pasaran United Kingdom, Husqvarna 701 Supermoto dan 701 Enduro masing-masing ditawarkan pada harga GBP10,499 (RM59.7k).
GALERI: HUSQVARNA 701 SUPERMOTO 2026









GALERI: HUSQVARNA 701 ENDURO 2026


















