
TUTUP BAHAGIAN BAWAH KERETA SEBENARNYA BAGUS….
Reka bentuk sesebuah kereta bukan hanya tertumpu kepada bahagian luar yang boleh dilihat seperti bampar, bonet, lampu dan spoiler sahaja, tetapi merangkumi bahagian bawah badan kereta yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kecekapan aerodinamik, penggunaan tenaga serta kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Jika diperhatikan pada kebanyakan kereta moden khususnya kenderaan elektrik, bahagian bawah badan biasanya dilengkapi panel penutup yang menghasilkan permukaan lebih rata dan licin. Reka bentuk ini dikenali sebagai flat underbody dan ia bukan sekadar bertujuan melindungi komponen mekanikal daripada kotoran atau objek asing di atas jalan.
Sebaliknya pendekatan tersebut berkait rapat dengan usaha mengurangkan rintangan udara atau aerodynamic drag. Ketika sesebuah kereta bergerak laju, udara bukan sahaja mengalir di atas bonet, bumbung dan sisi badan, tetapi turut melalui ruang di bawah kenderaan.
Jika bahagian ini mempunyai terlalu banyak komponen yang terdedah seperti lengan suspensi, paip ekzos dan struktur casis, aliran udara boleh terganggu lalu menghasilkan turbulens (angin berpusar) yang akhirnya meningkatkan rintangan aerodinamik yang perlu diatasi oleh kereta untuk terus bergerak.

Dengan menggunakan panel penutup di bahagian bawah badan, jurutera boleh menghasilkan permukaan lebih sekata supaya aliran udara bergerak dengan lebih teratur dan rintangan udara dapat dikurangkan menjadikan kereta menggunakan tenaga yang lebih rendah untuk mengekalkan kelajuan malar.
Kesan pengurangan rintangan aerodinamik ini menjadi semakin ketara apabila kereta dipandu pada kelajuan tinggi terutama di lebuh raya. Ini kerana rintangan udara meningkat secara mendadak apabila kelajuan bertambah. Secara teori apabila kelajuan digandakan, daya seretan aerodinamik meningkat kira-kira empat kali ganda dalam keadaan aliran udara yang sama.
Jadi usaha mengurangkan gangguan aliran udara boleh memberikan manfaat kepada kecekapan keseluruhan kenderaan. Bagi kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, penggunaan flat underbody boleh membantu mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk mengatasi rintangan udara.
Ini bermakna enjin tidak perlu bekerja sekeras sebelumnya untuk mengekalkan kelajuan, sekali gus berpotensi meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api, terutama ketika perjalanan jauh. Manfaatnya lebih penting bagi EV kerana kecekapan penggunaan tenaga mempunyai hubungan langsung dengan jarak pemanduan.

Apabila rintangan aerodinamik dapat dikurangkan, motor elektrik memerlukan tenaga yang lebih sedikit untuk menggerakkan kenderaan pada kelajuan sama. Ini membolehkan EV bergerak lebih jauh menggunakan kapasiti bateri yang sama tanpa perlu menambah saiz dan berat pek bateri.
Selain membantu mengurangkan rintangan udara, reka bentuk bahagian bawah yang lebih rata turut berpotensi mengurangkan bunyi seretan angin akibat turbulens udara. Ini boleh menyumbang kepada suasana kabin yang lebih senyap, terutama ketika kenderaan dipandu pada kelajuan lebuh raya.
Panel flat underbody bukan sekadar panel plastik yang dipasang untuk menutup komponen mekanikal. Pada kereta berprestasi tinggi, reka bentuk ini menjadi sebahagian daripada keseluruhan pakej aerodinamik yang turut merangkumi pengarah aliran udara di bahagian hadapan, panel lantai khas dan diffuser belakang.
Komponen tersebut boleh direka untuk mengawal pergerakan udara di bawah kereta dan menghasilkan daya mendap atau downforce. Daya ini membantu menekan badan kereta ke permukaan jalan, sekali gus meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika mengambil selekoh atau dipandu pada kelajuan tinggi.

Tapi keutamaan bagi kebanyakan kereta penumpang biasa adalah mengurangkan rintangan udara, bukannya menghasilkan downforce yang terlalu tinggi. Bagi kenderaan elektrik mempunyai kelebihan tersendiri dalam penggunaan teknologi ini kerana susun atur mekanikalnya lebih ringkas berbanding kereta konvensional.
Kebanyakan EV menggunakan platform dengan pek bateri dipasang di bahagian bawah ruang penumpang. Pek bateri yang mempunyai permukaan luas dan rata ini memudahkan jurutera menghasilkan lantai kenderaan yang lebih sekata dengan bantuan panel perlindungan tambahan.
Namun secara realiti penggunaan panel bawah badan turut mempunyai beberapa cabaran. Komponen tersebut perlu tahan terhadap hentaman batu kecil, air, kotoran dan objek asing yang mungkin terdapat di atas jalan. Kos pembuatan, berat tambahan serta keperluan penyelenggaraan juga perlu diambil kira oleh pengeluar.
Ketinggian kelegaan bumi atau ground clearance turut menjadi faktor penting, khususnya bagi SUV, trak pikap dan kenderaan yang direka untuk kegunaan off-road. Kenderaan dalam kategori ini memerlukan ruang mencukupi untuk pergerakan suspensi serta perlindungan komponen mekanikal ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata.

Bahagian bawah badan kereta sebenarnya mempunyai pengaruh besar terhadap prestasi keseluruhan sesebuah kenderaan. Penggunaan flat underbody bukan sekadar menghasilkan penampilan lebih kemas, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha kejuruteraan untuk mengurangkan rintangan aerodinamik, meningkatkan kecekapan tenaga dan memperbaiki kestabilan.
Dalam era elektrifikasi, kepentingan reka bentuk ini semakin meningkat kerana setiap peratus peningkatan kecekapan tenaga boleh membantu memanjangkan jarak pemanduan EV. Ini membuktikan bahawa dalam pembangunan kereta moden, aspek aerodinamik bukan hanya melibatkan apa yang dilihat pada bahagian luar, tetapi turut merangkumi perkara yang tersembunyi di bawah badan kenderaan.



