Advertisements
Artikel Pilihan

SEBENARNYA GR86 LAGI LAKU DARI SUBARU BRZ

Toyota GR86 dan Subaru BRZ merupakan dua buah sports coupe yang mempunyai hubungan cukup rapat, dengan model ini dibangunkan menerusi kerjasama antara Toyota dan Subaru, menggunakan platform, enjin serta asas mekanikal yang hampir sama. Jadi jangan terkejut kalau kedua-dua model ini turut dipasang di kilang Subaru di Gunma, Jepun.

Walaupun berkongsi DNA yang sama, prestasi jualan kedua-dua model ini menunjukkan perbezaan yang agak ketara, khususnya di pasaran Amerika Syarikat. Menurut data jualan, Toyota 86 dan GR86 mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 124,215 unit antara 2012 hingga 2025.

Malangnya Subaru BRZ hanya merekodkan 58,318 unit dalam tempoh yang sama. Ini bermakna Toyota berjaya menjual lebih daripada dua kali ganda jumlah unit berbanding Subaru, meskipun kedua-duanya menawarkan pakej pemanduan yang hampir serupa.

Perbezaan ini menimbulkan persoalan menarik, kenapa pembeli lebih cenderung memilih Toyota GR86 sedangkan Subaru BRZ sebenarnya menawarkan asas kejuruteraan yang sama?

Antara faktor utama yang boleh menjelaskan keadaan ini ialah kekuatan jenama Toyota di pasaran Amerika Syarikat. Toyota mempunyai rangkaian pengedar yang jauh lebih luas, sekali gus memberikan kelebihan dari segi capaian pelanggan, kemudahan mendapatkan kenderaan serta sokongan selepas jualan.

Selain itu, kekuatan nama GR86 turut membawa nilai sentimental tersendiri dalam kalangan peminat automotif. Model ini mempunyai kaitan dengan legasi Toyota AE86 yang cukup popular, khususnya dalam budaya modifikasi dan juga sukan permotoran.

Kehadiran jenama Gazoo Racing juga membantu mengukuhkan imej GR86 sebagai sebuah sports coupe yang dibangunkan dengan DNA prestasi Toyota. Bagi kajian pasaran Amerika, perbezaan dari segi strategi harga yang boleh mempengaruhi keputusan pembelian.

Pada awalnya, Toyota 86 ditawarkan pada harga permulaan AS$24,200, manakala Subaru BRZ bermula pada AS$25,495. Namun jurang harga ini semakin ketara bagi model tahun yang lebih baharu. Bagi tahun model 2027, harga Toyota GR86 dilaporkan bermula pada AS$31,500, berbanding Subaru BRZ yang bermula pada AS$36,140.

Perbezaan sebanyak AS$4,640 ini memberikan kelebihan kepada Toyota dari sudut harga permulaan. Namun kalau anda sedang mencari unit terpakai dari pasaran Jepun, harga jualan BRZ akan jauh lebih murah berbanding dengan GR86 terpakai yang dijual di Malaysia

Untuk pasaran US, Subaru juga telah menggugurkan varian asas BRZ Premium bagi tahun model 2026, dan hanya menawarkan model premium dengan harga yang lebih tinggi. Keadaan ini mungkin menyebabkan sebahagian pembeli yang mahukan sebuah sports coupe pacuan roda belakang pada harga mampu milik memilih GR86.

Satu lagi faktor yang menarik ialah kedudukan BRZ dalam portfolio Subaru. Dari sudut sejarah, Subaru sebenarnya lebih dikenali menerusi kenderaan yang menggunakan sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD, selain model SUV lasak dengan enjin Boxer yang lebih stabil

BRZ pula membawa pendekatan berbeza dengan menggunakan enjin boxer dan sistem pacuan roda belakang yang tidak begitu mencerminkan identiti tradisional Subaru. Menurut satu laporan tidak rasmi, kemungkinan besar Toyota akan bekerjasama dengan Mazda bagi pembangunan platform pacuan roda belakang untuk generasi akan datang GR86 dan MX-5 Miata.

Toyota juga pernah memperlihatkan hala tuju pembangunan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter menerusi pembangunan enjin G20E yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai enjin serba boleh untuk kegunaan kereta sport pacuan roda belakang. Apa yang boleh terjadi ialah Mazda akan membekalkan platfom pacuan roda belakang manakala enjin akan dibekalkan oleh Toyota.

Google ads
Back to top button