
BYD Ti7 DIHARAMKAN DIJUAL DI EU, JLR MENANG KES MAHKAMAH
BYD berdepan satu tamparan hebat dalam usaha mengembangkan perniagaan di pasaran global apabila model SUV BYD Ti7, diarahkan supaya tidak dijual atau dikomersialkan di seluruh Kesatuan Eropah (EU). Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Daerah The Hague di Belanda selepas Jaguar Land Rover (JLR) memfailkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan pelanggaran hak reka bentuk berdaftar untuk Land Rover Defender.
Keputusan awal yang dikeluarkan pada 20 November 2026 itu mengarahkan anak syarikat BYD di Eropah menghentikan semua aktiviti berkaitan Ti7, termasuk mengimport, menghasilkan, menawarkan untuk jualan, menjual, menyimpan dan menghantar kenderaan berkenaan di seluruh EU. BYD diberikan tempoh hanya satu minggu selepas menerima keputusan mahkamah untuk mematuhi arahan tersebut.
Sekiranya gagal berbuat demikian, BYD boleh dikenakan penalti sebanyak €100,000 sehari atau sebahagian daripada sehari. Sebagai alternatif, JLR boleh memilih penalti sebanyak €25,000 bagi setiap pelanggaran, dengan jumlah keseluruhan dihadkan kepada €10 juta.


Pertikaian ini berpunca daripada persamaan reka bentuk antara BYD Ti7 dengan Land Rover Defender generasi semasa. Ti7 merupakan sebuah SUV berbentuk kotak yang ditawarkan dalam konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk serta menggunakan sistem rangkaian kuasa plug-in hybrid.
Antara elemen yang menjadi perhatian ialah bentuk badan berkotak, bumbung rata, tingkap yang hampir tegak serta tayar simpanan yang dipasang pada pintu belakang. Gabungan ciri tersebut dikatakan menghasilkan penampilan keseluruhan yang terlalu hampir dengan identiti reka bentuk Defender.
Tetapi BYD mempertahankan reka bentuk Ti7 dengan menyatakan terdapat beberapa perbezaan ketara berbanding Defender seperti reka bentuk lampu utama, gril, bampar, bonet, tingkap dan ruang arka roda. Namun mahkamah tidak menerima hujah tersebut kerana perbezaan pada komponen individu tidak mencukupi untuk mengubah tanggapan keseluruhan terhadap kedua-dua kenderaan.

JLR tidak hanya bergantung kepada dakwaan bahawa BYD meniru penampilan Defender, malah JLR menggunakan hak reka bentuk berdaftar Kesatuan Eropah yang difailkan pada 2018, iaitu setahun sebelum Defender generasi semasa diperkenalkan kepada umum pada 2019.
Mahkamah mengenal pasti beberapa elemen reka bentuk yang menjadi identiti tersendiri Defender, termasuk bentuk bahu badan, bucu yang membulat, panel khas pada tiang C, potongan arka roda, susunan kawasan tingkap serta siluet keseluruhan kenderaan. Gabungan ciri tersebut dianggap mempunyai perlindungan di bawah pendaftaran reka bentuk berkenaan.
Satu lagi perkara menarik ialah BYD Ti7 sebenarnya masih belum memasuki pasaran Kesatuan Eropah ketika keputusan mahkamah dibuat. BYD sebelum ini memaklumkan bahawa syarikat itu tidak mempunyai rancangan konkrit untuk melancarkan model berkenaan di Eropah.

Bagaimanapun, mahkamah tetap mengeluarkan larangan bagi menghalang kemungkinan model tersebut memasuki pasaran EU pada masa hadapan kerana BYD tidak memberikan komitmen untuk memastikan perkara itu tidak berlaku. Namun keputusan berkenaan tidak melibatkan United Kingdom.
Mahkamah menolak permintaan JLR untuk mengenakan larangan serupa di UK kerana tidak mempunyai bidang kuasa terhadap BYD UK. Ini bermakna rancangan BYD untuk memasarkan Ti7 di UK masih boleh diteruskan, dengan penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula Januari 2027.
BYD bagaimanapun tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan mengesahkan akan mengemukakan rayuan dan menegaskan bahawa Ti7 merupakan hasil pembangunan reka bentuk dalaman mereka sendiri dan tidak melanggar hak harta intelek milik JLR. BYD turut menyatakan bahawa mereka akan menggunakan saluran perundangan yang tersedia untuk mencabar keputusan berkenaan.

Namun keputusan mahkamah ini merupakan keputusan awal atau preliminary ruling, bukannya penghakiman muktamad bagi keseluruhan pertikaian. JLR mempunyai tempoh enam bulan untuk memulakan prosiding utama sekiranya mahu meneruskan tindakan undang-undang tersebut, dan larangan berkenaan kekal berkuat kuasa selagi tidak berjaya dicabar melalui proses rayuan.
Kes ini menjadi satu peringatan penting kepada pengeluar automotif, khususnya jenama yang sedang agresif mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa. Dalam industri automotif, menghasilkan reka bentuk yang mempunyai persamaan dengan model sedia ada bukanlah sesuatu yang asing.
Namun apabila gabungan elemen visual terlalu hampir dengan reka bentuk yang telah dilindungi melalui pendaftaran harta intelek, ia boleh membawa implikasi perundangan dan kewangan yang besar.

Bagi BYD, keputusan ini tentunya satu tamparan dalam usaha memperkukuhkan kedudukan jenama tersebut di Eropah. Walaupun syarikat itu kini antara pemain utama dalam industri kenderaan elektrik dan hibrid, kes ini menunjukkan bahawa kekuatan teknologi, kapasiti pengeluaran dan kemampuan kewangan sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan di pasaran global.









