
DAN HARGA RASMI TOYOTA GRANACE DI JEPUN 50% LEBIH MAHAL DARI VELLFIRE!
Toyota Jepun baru sahaja melancarkan secara rasmi MPV terbaru mereka Toyota Granace. Ia adalah MPV sama yang mula-mula dilancarkan di Filipina dan kemudiannya Australia. Kerangka asalnya ialah konsep Hiace, yang lebih bertujuan untuk kargo atau penumpang komersial.
Apa yang mengejutkan ialah, harga jualan di Jepun nampaknya lebih mahal dari falgship MPV mereka – Alphard dan Vellfire. Ia sesuatu yang tidak dijangkakan langsung kerana di pasaran luar, sepatutnya Granace berada di bawah pasaran Alphard dan Vellfire yang lebih mewah.
Terdapat dua versi yang diperkenalkan di Jepun iaitu Toyota Granace G dengan lapan tempat duduk (empat baris) dijual pada harga JPY6,200,000 (RM237,000) dan Granace Premium enam tempat duduk (tiga baris) berharga JPY6,500,000 (RM248,000).
Sebagai perbandingan, harga sebuah Vellfire “asas” untuk varian X dengan lapan kerusi ialah sekitar 3,500.000 yen (RM134,000) dan Granace ini nampaknya hampir 50% lebih mahal berbanding sebuah Vellfire.
GranAce dikuasakan oleh enjin diesel 1GD bersesaran 2.8 liter yang dipadankan bersama kotak gear automatik 6-kelajuan. Jentera itu juga dipasang dengan sistem keselamatan terkini Toyota Active Sense.
Dari segi dimensi, GranAce ialah sepanjang 5,300mm, lebar 1,970mm dan setinggi 1,990mm. Ia 35mm lebih panjang dan 20mm lebar berbanding HiAce yang menjadi asas binaannya.

GranAce tampil dengan penampilan tersendiri menerusi lampu nyalaan siang (DRL) LED, gril besar, bampar baharu dan banyak lagi.
Di ruang kabin, Toyota mengekalkan susun atur yang sama tetapi menggunakan material premium. Jadi, MPV itu menerima tampat duduk dibalut kulit, kemasan kayu dan aluminium, skrin infohibur lebih besar dan kawalan pendingin hawa berbeza.
Antara ciri-ciri menarik Granace ialah
GAYA MEWAH
Gril radiator yang besar dengan kemasan krom yang saling bersepadu dengan lampu-lampu utama memang memberikan penampilan yang anggun. Lampu nyalaan siang LED dan lampu utama projektor lensa berlembar LED memang memperlihatkan ciri sofistikated yang sinonim dengan kereta-kereta mewah.
- Kokpit bergaya dan berkualiti tinggi
Panel instrumen berwarna hitam memang memberikan gaya elegan dan mewah tambahan pula bila digandingkan dengan kemasan krom pada corong penyaman udara dan elemen kayu pada pintu penumpang hadapan. Paparan meter pula dibalut dengan kulit lengkap dengan jahitan sebenar memang menampakkan kualiti yang berbeza.
- Ruang dalaman berkualiti dan serba luas
Selain pilihan 6-tempat duduk sebaris, Granace ini juga ditawarkan dengan pilihan 8-tempat duduk untuk memenuhi kehendak pasaran dunia yang berbeza. Walaupun dengan 8-tempat duduk tidak bermakna ia mempunyai kualiti yang rendah.

Malah ini sebenarnya memberikan kedudukan rehat yang selesa untuk penumpang lengkap dengan dekorasi elemen kayu dan sistem pencahayaan LED yang elegan lagi menenangkan.
- Prestasi sofistikated dan berkualiti tinggi
MPV model baru ini dikuasakan enjin disel bersih 2.8L 1GD yang dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan automatik dan memberikan kelancaran dan tork yang tinggi dari awal pemanduan.
Sistem suspensi baru trailing-link rigid-axle memastikan perjalanan lebih selesa dan stabil. Sistem insulasi dan tebatan bunyi memang satu kemestian untuk wagon mewah seperti ini dan Granace memang sangat cemerlang dari aspek ini.
- Peralatan termaju dan terkini
Ia didatangkan lengkap dengan Toyota Safety Sense versi terbaru yang menampilkan fungsi pengesan yang mampu mengesan pejalan kaki baik pada waktu siang mahupun malam selain penunggang basikal ataupun motosikal.

Ia juga turut dilengkapi dengan sistem Intelligent Clearance Sonar yang digabungkan dengan Parking Support Brakes (untuk objek tidak bergerak) bagi membantu mengurangkan kemalangan sewaktu meletakkan kenderaan di kawasan pasar raya.
Selain daripada itu fungsi audionya juga menggunakan sistem termaju yang mampu dihubungkan dengan telefon pintar untuk operasi navigasi dan muzik menggunakan papapan skrin sentuh.