
TCEAS PERKENAL TEMPAHAN DAN BAYARAN SERVIS MELALUI TNG eWALLET – PAKEJ BERMULA RM109
Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) menjalin kerjasama dengan TNG eWallet bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan dan pembayaran servis kenderaan secara digital menerusi aplikasi berkenaan.
Melalui kerjasama itu, pengguna kini boleh memilih lebih 50 pusat servis TCEAS di seluruh negara untuk mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.
Selain menawarkan proses tempahan lebih mudah, pelanggan yang membuat tempahan melalui TNG eWallet turut berpeluang menikmati pakej Rahmah bermula serendah RM109.
Perkhidmatan yang ditawarkan meliputi pelbagai jenama kenderaan termasuk Nissan, Proton, Perodua, Toyota, Honda, Mitsubishi, Mazda, Subaru, Hyundai dan Kia.
Ketua Unit Perniagaan TCEAS, Kay Fock Soon berkata, syarikat itu sentiasa memberi penekanan terhadap pengalaman pelanggan dengan memastikan setiap proses, daripada tempahan sehingga penyerahan semula kenderaan, berjalan dengan lancar.
“Kerjasama dengan TNG Digital membolehkan kami menawarkan tahap kemudahan yang lebih tinggi kepada pelanggan sedia ada, selain memperkenalkan perkhidmatan TCEAS kepada komuniti pengguna TNG eWallet yang lebih luas.
“Pelanggan juga boleh menikmati khidmat juruteknik bertauliah serta jaminan selama enam bulan bagi alat ganti dan kos buruh yang digunakan,” katanya.
Majlis menandatangani kerjasama tersebut berlangsung di ibu pejabat TNG Digital di Bangsar South, Kuala Lumpur.
TCEAS diwakili oleh Kay bersama Ketua Operasinya, Daniel Foong Weng Heng, manakala TNG Digital diwakili Pengarah Bersekutu Kanan Pembayaran Luar Talian, Mobiliti dan Perkhidmatan Kerajaan, Sheikh Zulfadli Sheikh Zuljallaly serta Pengarah Bersekutu Ekosistem Parkir dan Mobiliti, Jonathan Tan.
Untuk membuat tempahan, pengguna hanya perlu mencari “Tan Chong” dalam aplikasi TNG eWallet, memilih program mini TCEAS, memilih pakej servis, pusat servis serta tarikh temu janji sebelum membuat pembayaran secara dalam talian.
Pihak pusat servis akan menghubungi pelanggan bagi mengesahkan tempahan selepas pembayaran diterima.
Program mini TCEAS kini boleh diakses melalui aplikasi TNG eWallet dengan pelbagai pilihan pakej servis yang ditawarkan pada harga berpatutan.



