
JUALAN KENDERAAN JULAI MELONJAK 8 PERATUS, MAA JANGKA TREND POSITIF KEKAL PADA OGOS
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah pendaftaran kenderaan baharu di negara ini terus menunjukkan prestasi positif pada Julai 2026 apabila jumlah jualan meningkat kepada 73,615 unit.
Angka tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak lima peratus berbanding Julai tahun lalu dan lapan peratus lebih tinggi berbanding Jun 2026.
Menurut MAA, peningkatan itu turut dipacu oleh lonjakan permintaan terhadap trak pikap berkuasa diesel selain faktor Julai yang mempunyai bulan bekerja penuh.
Segmen trak pikap mencatatkan kenaikan jualan sekitar 30 peratus berbanding bulan sebelumnya. MAA menjelaskan momentum itu disokong oleh pengumuman subsidi diesel menerusi program Budi Diesel yang berkuat kuasa pada 1 Julai lalu, sekali gus membantu merangsang minat pembeli dalam kategori tersebut.
Dalam masa sama, jumlah pengeluaran kenderaan turut mencatatkan prestasi terbaik sejak Januari 2024 dengan sumbangan besar daripada pengeluar jenama nasional.
Berdasarkan pecahan jualan, kenderaan penumpang merekodkan 68,900 unit, meningkat tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Sebaliknya, segmen kenderaan komersial menyusut 16 peratus kepada 4,715 unit.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah keseluruhan industri automotif atau Total Industry Volume (TIV) mencapai 458,968 unit, meningkat tiga peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
Dari sudut pengeluaran pula, sebanyak 75,490 kenderaan dihasilkan pada Julai, meningkat lima peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan pengeluaran kenderaan penumpang yang berjaya mengimbangi penurunan dalam pengeluaran kenderaan komersial.
Secara keseluruhan, sebanyak 432,436 kenderaan telah dikeluarkan antara Januari hingga Julai 2026, iaitu peningkatan dua peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
MAA menjangkakan momentum jualan akan berterusan pada Ogos 2026, disokong oleh pelbagai kempen promosi agresif yang sedang dijalankan oleh pengeluar dan pengedar kenderaan di seluruh negara.







