BuletinMotosikal

RASMI. MARQUEZ TERPAKSA JALANI PEMBEDAHAN HARI INI

Juara MotoGP 2019, Marc Marquez akhirnya terpaksa mengalah dengan kecederaan berterusan yang dialami pada tahun ini. Beliau akhirnya akan melakukan pembedahan pada bahu kanannya selepas terlibat dalam satu lagi kemalangan di litar Jerez dalam ujian Ahad lepas.

Marquez yang terjatuh lagi pada hari ujian terakhir itu terpaksa berhenti dan pemeriksa perubatan mendapati kedudukan bahu kanannya bertambah teruk.

Selepas “menyembunyikan” tahap kesihatannya sepanjang musim ini, Marquez akhirnya mengakui bahawa beliau memang ada masalah dengan bahu kanannya.

Ianya bermula pada pusingan di Motegi dan berlanjutan selepas insiden mengejar Quartararo pada sesi ujian di litar Sepang awal bulan ini.

Meskipun mampu meneruskan ujian di Jerez pada Isnin lalu dan mencatat masa terpantas pada Selasa sebelum hujan turun, Marquez akui bahu kanannya semakin sakit.

Kenyataan dari pasukan Honda Repsol memberitahu bahawa Marquez akan jalani pembedahan pada hari ini di Hospital Universitari Dexeus-Quiron di Barcelona untuk mengelakkan kecederaan bahu kanannya bertambah serius.

Ia adalah rawatan yang sama seperti yang dilakukan pada bahu kirinya tahun lepas, hampir sama waktunya, ketika musim sejuk 2018.

“Musim sejuk ni saya akan berehat dan bercuti, tapi kali ini, perlu rawatan bahu kanan,” ujar Marquez.

“Seperti yang semua orang tahu, musim sejuk tahun lepas adalah waktu yang sukar buat saya. Bahu kiri saya rosak teruk. Saya mahu elakkan situasi yang sama pada bahu kanan pada masa hadapan jadi saya berbincang dengan teliti bersama doktor-doktor pakar untuk melihat apa pandangan mereka.

“Sebelum pusingan di Jepun, saya ada masalah dengan bahu kanan, dan selepas kemalangan di Malaysia ia makin sakit. Di sini (Jerez) selepas satu lagi kemalangan, kami ambil keputusan mengikut pandangan doktor supaya jalani rawatan agar kerosakan teruk tak berlaku macam bahu kiri.

“Sudah tentu ia akan ambil masa yang lama dan kami akan bersedia sebelum ujian di Malaysia nanti.

Tahun lalu, Marquez telah menjalani pembedahan bahu kiri sebaik selesai ujian di Jerez dan ketika tiba di winter test di Sepang dua bulan selepas rawatan, kondisi Marquez belum benar-benar pulih.

Bagaimanapun, dengan kondisi sebeitu pun beliau berjaya mendominasi musim ini dengan 12 kemenangan dan 18 podium.

Ujian pra musim akan bermula di Sepang pada 7 Februari 2020.

Google ads
Back to top button