Peranti

Dell Inspiron

Sistem baru Inspiron 14, 15, 14R dan 15R telah dioptimumkan bagi prestasi lebih baik dan keupayaan bateri yang dipertingkat. Pakej ini kini lebih nipis berbanding generasi Inspiron sebelumnya.

Dilengkapi teknologi terkini, antara ciri-ciri Inspiron baru ini adalah kapasiti bateri ditingkatkan bagi komputer riba versi 6-cell. Ia juga menggunakan versi voltan ultra-rendah bagi pemproses Intel Core i.

Hanya memerlukan 17 wat untuk beroperasi, pemproses yang cekap tenaga ini menggunakan kurang daripada setengah keperluan kuasa yang diperlukan  pada komputer riba Inspiron tahun lalu. Hasilnya, jangka hayat bateri lebih lama.

“Pelanggan kami memberitahu bahawa mereka mahukan jangka hayat bateri yang lebih baik tanpa mengorbankan keseluruhan prestasi.  Mereka juga inginkan komputer riba yang nipis dan mudah alih.

“Inspiron baharu ini memiliki kedua-dua kuasa dan prestasi, dipadatkan dengan ciri penuh komputer riba yang lebih ringan dan kecil. Ia cukup sempurna untuk keluarga dan pelajar yang menggunakan komputer pada setiap hari,” jelas Pengurus Am, Perniagaan Pengguna, Dell Sales Malaysia, Khoo Teng Guan.

Komputer riba ini boleh didapati dengan pilihan pemproses Intel Core i3, i5 dan i7. Ia menyokong ciri-ciri kelas tinggi seperti sokongan tanpa wayar 3×3 dual-band pada standard Wi-Fi N yang terkini, Bluetooth 4.0, HDMI 1.4a, selain pembesar suara stereo dengan pemprosesan Waves MaxxAudio 4 yang diperkenalkan dalam komputer riba kelas tinggi XPS .

Produk ini juga hadir dengan Skype dan keupayaan H.264 yang membolehkan aktiviti sembang video secara HD mahupun membuat panggilan. Melalui kad tanpa wayar Intel, semua sistem ini akan menyokong standard paparan Intel. Melihat kepada penambahbaikan perkakasan dan perisian ini, Inspiron mempunyai pad sentuh yang dioptimumkan untuk memberi kelebihan gerak isyarat multi sentuh dalam Windows 8.

Inspiron 14 dan 15:

Inspiron 14 dan 15 direka untuk para pelanggan yang mahukan ciri terbaik pada harga mampu milik. Komputer riba ini ditawarkan dalam dua saiz skrin iaitu 14 dan 15 inci. Selain ciri yang sudah diterangkan, kedua-dua model ini tampil dengan kemasan tekstur hitam pusam, papan kekunci Chiclet serta disokong oleh sistem 8GB  RAM dan pilihan pemacu keras sehingga 1TB.

Pelanggan mempunyai pilihan untuk menaik taraf daripada  grafik bersepadu Intel HD 4000 standard kepada kad grafik berasingan sama ada NVIDIA GeForce atau AMD Radeon bersama memori video 1GB atau 2GB. Pilihan dan penambahan yang boleh dibuat menjadikan Inspiron produk yang versatil. Ia menawarkan prestasi terbaik dalam semua perkara daripada produktiviti asas hinggalah menonton kandungan video HD.

Kedua-dua Inspiron 14 dan 15 mempunyai paparan 720p WLED 1366 x 768 dengan ciri Truelife.

Inspiron 14R dan 15R:

Pelanggan yang menginginkan lebih banyak pilihan ciri dan peribadi, Dell menawarkan sistem utama Inspiron 14R dan 15R baharu. Kedua-dua model ini hadir dengan standart kemasan aluminium berkilau Moon Silver. Ia juga boleh dipesan dalam pilihan warna biru (Peacock Blue), merah (Fire Red) atau merah jambu (Lotus Pink).

Selain itu, 14R dan 15R boleh dipesan dengan satu pilihan paparan penuh HD yang menyokong 1080p ( resolusi 1920 x 1080 ) bersama kemasan antisilau. Paparan resolusi lebih tinggi adalah ideal bagi pengguna yang mengimpikan pengalaman filem HD penuh. Ataupun bagi sesiapa yang memerlukan skrin lebih besar untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Inspiron 14R dan 15R turut menyelitkan satu pad kekunci angka seperti papan kekunci konvensional.

Produk Inspiron boleh didapati bermula pada harga berikut :

  • Inspiron 14 bermula pada harga RM999
  • Inspiron 15 bermula pada harga RM1049
  • Inspiron 14R bermula pada harga RM1699
  • Inspiron 15R bermula pada harga RM1849

[hr] 

Gallery

[hr_invisible] 

[hr]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button