Buletin

DONGFENG FEARLESS M50. HUMVEE UNTUK ORANG AWAM DI CHINA. BERMULA RM432K

Sedia maklum bahawa General Motor mungkin akan menghidupkan kembali model Hummer sebagai sebuah SUV elektrik dan trak di bawah jenama GMC. 

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pengeluar kenderaan China, Dongfeng pernah bekerjasama dengan AM General untuk membina Humvee bagi kegunaan angkatan tentera China. Kini, Dongfeng tampil dengan model terbaharu yang menggabungkan reka bentuk Humvee dan Lamborghini LM002.

Hasilnya, jentera yang diberi nama Dongfeng Fearless M50 itu nampak cukup garang. Kalau sebelum ini ia digunakan oleh tentera, Dongfeng merancang untuk menawarkan Fearless M50 kepada orang awam. Trak lebar dua pintu tersebut hanya mempunyai dua tempat duduk. 

Rekaan luaran bagaimanapun berbeza dengan trak single cab. Ia diserlahkan dengan rekaan gril yang unik, cermin utama lebar bersama tiga bilah penggilap dan sepasang lampu utama berbentuk bulat yang kecil. Pelindung besi di bahagian bawah gril radiator menyerlahkan lagi karekternya yang gagah. 

Rekaan Humvee jelas kelihatan pada rekaan kabin dengan konsol tengah yang besar memisahkan kedua0dua tempat duduk.

Sebagai sebuah SUV lasak, ia menggunakan plastik keras pada hampir semua permukaan papan pemuka yang dikontraskan dengan kemasan perak pada corong pendingin hawa, perumah kluster meter dan stereng. 

Fearless M50 dikuasakan oleh enjin turbo diesel bersesaran 4.0 liter yang mampu menjana 197hp dan tork 600Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual. 

Menurut Dongfeng, trak itu boleh meredah air sehingga 1.2 meter. Di China, Fearless M50 akan ditawarkan pada harga 668,000 yuan (RM432,000) seunit. Syarikat berkenaan dijangka menawarkan beberapa varian Fearless M50 sebelum diganti dengan model serba baharu M20. 

GALERI

Google ads
Back to top button