Artikel Pilihan

DONGFENG PERKENAL ENJIN HIBRID 2.0 TURBO BARU, KECEKAPAN 45.5%

Jenama automotif Dongfeng mengukuhkan kedudukannya dalam pembangunan teknologi hibrid apabila memperkenalkan enjin Mach Power 2.0T Hybrid yang berjaya mencapai kecekapan haba (thermal efficiency) sebanyak 45.5 peratus.

Pencapaian itu menjadikannya antara enjin hibrid 2.0 liter turbo paling cekap yang pernah dibangunkan untuk kegunaan kenderaan penumpang khususnya dalam segmen SUV. Menurut Dongfeng, angka kecekapan tersebut telah disahkan oleh badan pensijilan bebas CATARC Huacheng, sekali gus memberikan pengiktirafan terhadap prestasi teknologi yang digunakan pada enjin berkenaan.

Kecekapan haba merujuk kepada jumlah tenaga daripada bahan api yang berjaya ditukarkan kepada tenaga mekanikal, dengan peratusan yang lebih tinggi menunjukkan penggunaan bahan api yang lebih optimum dan pembaziran tenaga yang lebih rendah.

Tidak seperti kebanyakan sistem hibrid yang menggunakan enjin berkapasiti kecil, Mach Power 2.0T dibangunkan khusus untuk SUV dan kenderaan bersaiz lebih besar yang memerlukan gabungan prestasi tinggi serta kecekapan penggunaan bahan api. Pendekatan ini membolehkan kenderaan menawarkan kuasa yang mencukupi tanpa mengorbankan aspek ekonomi bahan api.

Bagi mencapai tahap kecekapan tersebut, Dongfeng membangunkan teknologi pembakaran baharu yang dikenali sebagai MAKC (High-efficiency Anti-Knock Rapid Combustion). Sistem itu menggabungkan reka bentuk enjin jenis long-stroke dengan nisbah stroke-to-bore 1.29, sistem suntikan bahan api bertekanan tinggi sehingga 350 bar serta pencucuhan yang lebih berkuasa.

Hasilnya, proses pembakaran menjadi lebih pantas dan efisien di samping mengurangkan risiko berlakunya masalah engine knocking. Selain itu, enjin ini turut menggunakan sistem cooled low-pressure Exhaust Gas Recirculation (EGR) yang berfungsi mengitar semula sebahagian gas ekzos untuk menurunkan suhu pembakaran.

Dongfeng menyatakan teknologi berkenaan mampu meningkatkan penjimatan bahan api antara tiga hingga 10 peratus bergantung kepada keadaan pemanduan dan beban enjin.

Bagi mengurangkan kehilangan tenaga akibat geseran dalaman, Mach Power 2.0T dilengkapi dengan beberapa teknologi moden termasuk pam minyak elektronik dengan kapasiti berubah, salutan diamond-like carbon (DLC) pada komponen tertentu serta penggunaan turbo geometri berubah (variable-geometry turbocharger).

Gabungan inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan keseluruhan enjin, malah membantu mengekalkan prestasi dalam pelbagai situasi pemanduan termasuk di kawasan altitud tinggi.

Dongfeng turut menyatakan bahawa penambahbaikan tersebut membolehkan kawasan operasi paling cekap bagi enjin ini diperluaskan kira-kira 30 peratus berbanding generasi sebelumnya. Ini bermakna enjin mampu beroperasi dengan lebih efisien dalam julat kelajuan dan beban yang lebih luas, sekali gus menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih rendah dalam penggunaan harian.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa teknologi enjin pembakaran dalaman masih mempunyai potensi besar untuk terus dipertingkatkan walaupun industri automotif kini semakin beralih ke arah elektrifikasi.

Dengan persaingan sengit dalam pasaran hibrid, pencapaian Dongfeng ini dijangka memberi cabaran kepada pengeluar lain yang turut berlumba-lumba menghasilkan enjin dengan tahap kecekapan haba melebihi 45 peratus bagi generasi kenderaan masa hadapan.

Google ads
Back to top button