DONGFENG PAMERKAN TRAK EV ALA CYBERTRUCK – DAH AGAK DAH MESTI AKAN MUNCUL PUNYA
Sejak kemunculan Tesla Cybertruck lagi kami yakin satu hari nanti akan muncul model yang hampir sama dari China dan kini masanya telah tiba. Di tengah keriuhan dan kemeriahan Beijing Auto Show, kesempatan diambil oleh Dongfeng untuk mendedahkan cybertruck versi mereka. Adakah ia bakal diproduksikan? Kami pun belum pasti.
Ia dikatakan bakal guna platform EV papan luncur Dongfeng dan bakal hasilkan 1,305 hp kuasa! Walawei… itu dah kira lagi berkuasa dari model flagship Tesla, CyberBeast.
Sekali tengok pun sudah tentu ramai yang dapat agak pereka-pereka Dongfeng mengambil inspirasi dari Cybertruck. Ada juga sedikit elemen Xpander pada bahagian hadapan. Cuma berbanding Cybertruck, sudut-sudut kembar dari China lebih lembut dan kurang tajam menikam. Bar lampu LED mempunyai fungsi pelbagai, logo bercahaya dan plet hentaman memberikan imej yang tersendiri pada model kucing peniru (copycat) ni.
Dilihat dari bahagian sisi boleh tahan juga model ini. Ia mempunyai pintu bukaan ala Rolls-Royce, pemijak kaki sisi berkuasa, penutup rim aerodinamik dan set tayar pelbagai permukaan yang rugged. Pengaruh Cybertruck berterusan hingga ke belakang dengan rekaan khemah pop-out pada bahagian kargo.
Bahagian dalam pula menampilkan roda stereng berbentuk segi empat dan skrin paparan yang memanjang dari kiri ke kanan papan pemuka. Ia juga mempunyai tempat duduk yang sedikit pelik dan kemungkinan besar dihasilkan dari serat karbon pada bahagian belakang.
Tapi bila dilihat kembali tak ada la teruk sangat rekaannya. Bahkan lagi elegan dari Cybertruck yang macam direka oleh makhluk asing. Korang rasa macam mana?