Artikel Pilihan

VOYAH PASSION S PANDU KAT BUMBUNG TEROWONG, TAK JATUH PUN

VOYAH jenama kenderaan premium di bawah Dongfeng mencuri perhatian selepas model elektrik terbaharunya iaitu Passion S, berjaya melakukan aksi 360 darjah di dalam sebuah terowong ujian tertutup di Wuhan, China.

Dalam aksi tersebut kenderaan berkenaan dipandu menaiki dinding terowong sebelum terus berpusing sehingga berada dalam keadaan terbalik di bahagian siling, sebelum melengkapkan satu pusingan penuh dan kembali ke permukaan bawah.

VOYAH mendakwa aksi itu dilakukan menggunakan sebuah kenderaan produksi sebenar tanpa pengubahsuaian khas atau kesan visual. Aksi berkenaan dilakukan sebagai penghormatan kepada aksi ikonik Mercedes-Benz SLS AMG yang pernah dipaparkan dalam iklan pada 2010 yang membabitkan legenda Formula 1 Michael Schumacher.

Namun begitu, VOYAH mahu memberikan kelainan apabila aksi kali ini dilakukan menggunakan sebuah kenderaan elektrik berbentuk SUV yang jauh lebih besar dan berat berbanding SLS AMG. Menurut VOYAH, Passion S yang digunakan mengekalkan bateri penuh serta perkakasan casis dan sistem elektronik standard seperti model produksi biasa.

Untuk melakukan aksi tersebut, Passion S perlu mencapai kelajuan kritikal kira-kira 130 km/j sebelum memasuki bahagian terowong yang melengkung. Pemandu juga perlu memasuki laluan berkenaan dengan sudut stereng sekitar 16 darjah bagi memastikan trajektori kenderaan tepat ketika mula menaiki dinding.

Pada kelajuan tersebut, daya memusat (centrifugal force) yang terhasil membantu memastikan kenderaan terus melekap pada permukaan terowong ketika ia bergerak daripada kedudukan biasa kepada kedudukan terbalik.

Jika kelajuan jatuh sekitar 3 hingga 5 km/j di bawah tahap kritikal, daya yang diperlukan untuk mengekalkan cengkaman pada permukaan bumbung terowong tidak lagi mencukupi dan kenderaan berisiko kehilangan sentuhan ketika berada di bahagian siling. Ini bermakna pemandu bukan sahaja perlu mencapai kelajuan yang tepat, malah perlu mengekalkannya sepanjang keseluruhan pusingan.

Keupayaan Passion S melakukan aksi tersebut turut dikaitkan dengan sistem rangkaian kuasanya. Versi pacuan semua roda yang digunakan mempunyai dua motor elektrik dengan output gabungan 475 kW, bersamaan kira-kira 637 hp dan tork maksimum 765 Nm.

Sistem ini menggunakan seni bina elektrik 800 volt berasaskan silikon karbida, manakala VOYAH menyatakan sistem pengurusan haba membantu memastikan output kuasa tidak merosot ketika kenderaan melakukan pecutan, menaiki dinding dan berada dalam keadaan terbalik.

VOYAH mendakwa Passion S yang melakukan aksi tersebut ialah kenderaan produksi standard dan bukannya prototaip yang diringankan atau diubah suai untuk tujuan demonstrasi. Syarikat itu turut mendakwa ia merupakan kenderaan produksi pertama yang berjaya melakukan manuver 360 darjah seperti ini.

Passion S sendiri merupakan model elektrik mempunyai panjang sekitar 5,050 mm, lebar 1,998 mm serta jarak roda 3,000 mm. Versi pacuan semua roda menggunakan bateri sekitar 98 kWh bersama sistem 800 volt dan menyokong pengecasan pantas 5C, dengan jarak perjalanan mencecah sehingga 700 km mengikut kitaran CLTC.

Aksi ini juga menjadi sebahagian daripada usaha VOYAH memberikan perhatian kepada Passion S menjelang pelancaran rasminya di China. Model tersebut sebelum ini dibuka untuk tempahan awal dengan harga bagi varian tertinggi sekitar 309,900 yuan, bersamaan kira-kira AS$45,600.

VOYAH dilaporkan menerima lebih 10,000 tempahan dalam tempoh sejam selepas tempahan awal dibuka, menunjukkan model ini sememangnya menjadi salah satu produk penting bagi jenama premium Dongfeng tersebut.

Google ads
Back to top button