Artikel Pilihan

ASALNYA KENDERAAN TENTERA, TAPI DIJUAL KEPADA AWAM

Sebenarnya dulu, kalau ikut peraturan biasa kenderaan yang dibuat khas untuk tentera memang tidak boleh dijual kepada umum. Mungkin tujuan utama ialah untuk mengelakkan spesifikasinya diambil dan dikaji oleh pihak musuh. Sebagai contoh dulu Hummvee memang tidak boleh dijual kepada umum.

Sehinggalah Arnold Schwarzenegger membuat rayuan kepada senat agar dia boleh membeli Humvee untuk kegunaan persendirian. Situasi ini menyebabkan pengeluar bertindak menghasilkan Humvee versi awam yang dikenali dengan Hummer H1. Ada banyak lagi contoh kenderaan yang dibina khas untuk tentera, tapi dibenarkan dijual untuk awam

Benda boleh buat duit, buat apa nak simpan kan. Mari kita tengok senarai kenderaan yang asalnya untuk kegunaan kenderaan tempur tapi boleh dibeli selain daripada Hummer H1

1. Oshkosh L-ATV – dihasilkan oleh Oshkosh Defense bagi menggantikan Hummvee sebagai kenderaan pelbagai guna bagi kegunaan Jabatan Pertahanan. L-ATV membawa maksud Light Combat All Terrain Vehicle dikuasakan dengan enjin 6600cc Duramax dengan 6 kelajuan automatik. Versi awam dijual bersama dengan perisai dan juga cagak senjata. Sangat sesuai untuk berlawan dengan Zombee

2. Renault Sherpa 2 – dihasilkan oleh Renault Truck Defense bagi kegunaan askar NATO di Eropah dihasilkan dalam 2 versi, dengan perisai ataupun tanpa perisai. Ia dihasilkan khas bagi misi risikan dan pengangkutan. Bagi versi tentera ia dilengkapkan dengan perisai anti peluru personel, IED dan periuk api personel

Kami tidak dapat mencari maklumat penuh berkenaan enjin, namun kuasanya ialah 215 kuasa kuda sudah cukup untuk membawa kenderaan seberat 8 tan ini pada kelajuan maksima 120km/j

3. Gaz Tiger – dihasilkan di Russia untuk kegunaan pasukan keselamatan di sana sebagai kenderaan pelbagai guna. Varian tanpa perisai digunakan sebagai kenderaan pegawai, manakala beberapa varian lain digunakan sebagai kenderaan untuk membawa bekalan dan juga anggota ke medan.

Unit ini dikuasakan oleh enjin disel Cummins 5900cc dengan transmisi 5 kelajuan manual. Untuk pasukan khas ia dilengkapkan dengan fungsi telekomunikasi, persenjataan elektronik malah ia diubahsuiai bagi kegunaan unit perubatan. Untuk pasaran awam, tiada perlindungan perisai dibekalkan

Mercedes-Benz G63 AMG 6×6 Showcar, Dubai 2013

4. Mercedes Benz G63 AMG 6X6 – merupakan varian yang agak pelik sebenarnya kerana G63 sebenarnya dibina khusus untuk pasukan keselamatan Austria. Namun atas permintaan kluster banyak duit, mereka meminta agar G63 versi awam dihasilkan ketika ia dipertontonkan kepada pegawai tentera

Jadi Mercedes meminta unit AMG menghasilkan varian untuk dijual kepada awam dengan sentuhan AMG, mampu mengharungi air sedalam 1 meter, pam udara khas untuk mengubahsuai kekerasan tayar dan dijana oleh enjin V8 5500cc dengan 536 kuasa kuda. Harganya sekitar RM 3.2 juta sahaja

5. Paramount Marauder – dihasilkan oleh syarikat Afrika Selatan untuk misi risikan dan misi pengaman oleh pasukan tentera PBB. Ia mampu memuatkan 10 anggota pengaman atau maksimum 5900kg muatan dalam satu misi. Cesinya pula dihasilkan dari cesi monocoque dengan 2 lapisan mampu menahan peluru pistol dan IED.

Sistem persenjataan yang boleh dimuatkan termasuklah mesingan dan juga pelancar misil. Enjin yang dibekalkan samaada Cummins 300 kuasa kuda atau MAN 240 kuasa kuda dengan halaju maksima mencecah 120km/j. Harganya sekitar 1.6 juta jerrrr.

6. Supacat LRV 400 – merupakan model yang agak kecil jika dibandingkan dengan pesainganya yang lain, ia dihasilkan oleh syarikat pengeluaran produk pertahanan yang berpengkalan di London. Ia dibina berdasarkan cesi tubular space frame dengan saiz sekitar 4.3 meter panjang dan 1.8 meter lebar.

Ia memuatkan 3 anggota keselamatan dalam satu masa iaitu pemandu, penembak dan komander. Ia boleh dipadankan dengan senjata kawalan jauh. Ia dipasang dengan winch, sistem penyerap hentak dengan jarak pergerakan 300mm, sistem bekalan elektrik 24 volt, dan lampu depan LED. Versi awam dijual tanpa senjata, risau korang mengamuk depan kelab malam.

Google ads
Back to top button