Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG HUMVEE & HUMMER H1

Semuanya bermula apabila kerajaan Presiden Amerika ada hobi yang pelik, kalau mereka bosan mereka akan cari gaduh dengan negara lain. Bila dah gaduh mereka kene hantar askar, dah sampai ke negara musuh tak kan nak jalan kaki. Mesti kena naik kenderaan. Paling kurang kena ada enjin V8, barulah style. Tak kan nak bawak M16 naik Axia kuning kan.

Memandangkan tahun 1970an, model M151 Jeep iaitu kenderaan pacuan empat roda yang menjadi kereta rasmi askar sudah pun usang, maka Jabatan Pertahanan menjemput pembida untuk menghantar kertas cadangan. 61 syarikat berminat namun hanya 3 syarikat menghantar prototaip untuk diuji.

Kertas cadangan itu menyebut High Mobility Multipurpose Wheeled Vehicle atau HMMWV. Sebab terlampau susah nak sebut ia hanya disebut Humvee. Jabatan Pertahanan menggariskan kenderaan ini perlu menggantikan peranan semua kenderaan pacuan empat roda ringan. Ia mestilah berfungsi dengan pelbagai peranan dalam tugas keselamatan.

Humvee M998

Model jeep M 151 pula mempunyai batasan dari segi keupayaan mengangkut beban serta dalam keadaan ekstrim, ia mudah terbalik. Jadi pihak tentera mahukan kenderaan pelbagai guna yang boleh memanjat gunung berapi, tidak mudah terbalik serta lasak.

Lamborghini turut menghantar prototaip yang diberi nama Cheetah, namun disebabkan masalah perundangan dan teknikal ia gagal mendapat kontrak. Model Cheetah ini kemudian dijual kepada pasaran terbuka dengan nama Lamborghini LM002.

Setelah diuji sejauh 600,000 batu, Jabatan Pertahanan berpuas hati dengan prototaip yang dihasilkan oleh AM General iaitu anak syarikat American Motor Corporation. Mereka diberi kontrak bernilai 1.2 billion USD pada tahun 1983 untuk tempahan awal 2334 unit dan 55,000 unit dalam masa 5 tahun untuk menghasilkan Humvee M998.

AM General diberi kontrak ini disebabkan keupyaan mereka memenuhi spesifikasi Jabatan Petahanan iaitu berat sekitar 2400kg, keupayaan mengangkut beban 1100kg dalam semua permukaan jalan, pilihan enjin 6200cc V8 disel atau 6300cc V8 petrol dan transmisi kelajuan automatik. Malah jika keadaan terdesak, Humvee boleh dijatuhkan terus dengan payung terjun ke kawasan medan

Memang ketika ini senang buat gear auto terus, nak training senang kata Jabatan Pertahanan. Bagi kegunaan dalam hutan atau padang pasir, Humvee memiliki ketinggian minima 410mm dari permukaan jalan, sudut hadapan 60 darjah (approaching angle) dan sudut belakang 40 darjah (departure angle).

Rongga kemasukan udara boleh ditinggikan sehingga 1.5 meter dengan kaedah snorkel. Bagi meredah air, Humvee mesti boleh meredah air sedalam 0.76m tanpa mengalami sebarang kerosakan kepada komponen elektronik. Sistem radiator mesti dipasang pada bahagian atas untuk mengelakkan kerosakan sewaktu melalui jalan lasak.

Humvee menggunakan cesi ladder frame dengan 5 batang besi penyokong cesi manakala kabin pula dihasilkan daripada aluminium. Bagi mengelakkan ia mudah terbalik, komponen gear dan transfer case dipasang pada tengah cesi diantara penumpang depan dan belakang. Jadi pusat graviti Humvee berada di tengah dan cesi Humvee dibuat dengan lebar agar susah terbalik.

Kabin Humvee pula dibuat daripada aluminium tahan karat dan ringan. Suspensi depan dan belakang datang dengan rekaan double wishbone. Pacuan semua roda dengan bantuan transfer case adalah ciri standard bagi Humvee. Namun apa yang special sistem penghantaran kuasa kepada roda menggunakan portal axles

Cakera brek dipasang pada aci pacu untuk tujuan keselamatan. Tayar yang dipasang adalah tayar gerak kempis (terma DBP) yang membolehkan ia terus dipandu walaupun tayar telah rosak. Terdapat satu peranti yang membolehkan angin dipam masuk dan keluar bagi membantu tayar mendapat cengkaman yang baik pada permukaan jalan mencabar.

Enjin versi turbodisel menghasilkan 190 kuasa kuda (je) namun tork maksima setinggi 515Nm tork. Manakala versi terbaru menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik. Tork yang tinggi akan memastikan Humvee berupaya meredah segala permukaan jalan dengan mudah.

Terdapat 17 variasi Humvee yang direka untuk kegunaan Amrika termasuklah sebagai menggangkut anggota ke kawasan konflik, membawa peralatan untuk peluru berpandu panduan laser, membawa peluru berpandu anti kereta kebal, ambulans medan, membawa muatan kargo, varian Avenger dengan misil darat ke udara

Masih anda ingat filem Black Hawk Down? Cerita bagaimana tentera Amerika datang menyerbu di Pasar Bakhara yang terpaksa diselamatkan oleh ATM. Dalam filem ini anda boleh lihat walaupun dilengkapi dengan mesingan kaliber besar, Humvee bukanlah kenderaan yang sesuai untuk bertempur. Ketiadaan perisai dan cermin kalis peluru menjadikannya sasaran mudah untuk dimusnahkan.

Ini kerana ketika direka, Humvee sebenarnya bertindak sebagai kenderaan sokongan logistik sahaja. Disebabkan peristiwa tersebut, Humvee telah dinaiktaraf kepada model M1114 dengan keupayaan menahan peluru pistol dan mesingan kaliber kecil. Kabin penumpang pula diperkukuhkan dengan keluli serta cermin kalis peluru.

Selain dari itu, buat pertama kali ia dipasang dengan penyaman udara serta penyerap hentak yang diperkukuhkan. Model M1114 ini pernah digunakan di Bosnia dan terbukti lebih baik dalam memberi perlindungan kepada askar walaupun rosak akibat terpijak periuk api

Pada perang Iraq kedua, Humvee turut dibawa ke medan sebagai kenderaan sokongan logistik. Apabila perang utama tamat, ia digunakan sebagai kenderaan peronda oleh askar Amerika. Namun kali ini ia berhadapan pula dengan bahan letupan ubahsuai dan bahan letupan tembus perisai yang meletupkan Humvee seperti tin minuman.

Pada 4 bulan pertama ketika operasu tahun 2006, 67 askar Amerika mati ketika keluar meronda dengan Humvee. Kongress Amerika pula dikritik hebat kerana gagal menyediakan kenderaan yang dilengkapi perisai untuk askar mereka. Walaupun kit perisai sentiasa ditambah baik, namun insurgen Iraq sentiasa berupaya memusnahkan Humvee.

Humvee yang dipasang dengan perisai akan hilang keupayaan untuk bergerak dengan lincah menjadikannya sasaran yang mudah. Jadi model baru telah direka untuk menggantikan Humvee. Untuk mengelakkan pembaziran , pihak tentera telah meluluskan penjualan unit Humvee kepada rakyatnya secara lelongan. Namun semua perisai telahpun dibuka atas tujuan keselamatan

Dengan harga bidaan serendah 10 ribu USD ia menjadi buruan peminat sukan lasak 4X4. Rekod menunjukkan unit ini pernah dijual dengan harga setinggi 30 ribu USD. RM 131,000 beb, boleh beli van mayat Vellfire bhai . Benda boleh jual buat duit kan dan langkah lelongan ini berjaya mencecah sehingga 750 ribu USD pada tahun 2014

Humvee menarik minat Arnold The Terminator (malas nak eja nama asal, susah) namun undang – undang Amerika menghalang orang awam memiliki dan memandu kenderaan tentera. Jadi Arnold dan AM General melobi di dalam senat Amerika supaya Humvee boleh dipakai di Amerika. Petisyen ini berjaya dan AM General melancarkan Hummer H1.

Secara asasnya Hummer H1 adalah sebuah Humvee namun direka supaya lebih selesa. Jika anda pernah menaiki kenderaan tentera, jangan haraplah nak jumpa balutan karpet ataupun kusyen yang lembut. Jadi Hummer dipasang dengan kusyen yang selesa, sistem audio serta papan pemuka yang lebih bertamadun

Malah Humvee dan Hummer dibuat di kilang yang sama serta barisan pemasangan yang sama. Namun Hummer dipasang dengan bahan kedap bunyi agar pemandu dan penumpang lebih selesa. Namun rekaan cesi dan keupyaan meredah laluan sukar sama dengan Humvee. Ketika itu sebuah Hummer H1 baru berharga 65 ribu USD.

Setakat ini penulis belum berjaya menjumpai Hummer H1 terpakai untuk dijual di Malaysia. Kalau ada pun, cukai jalan untuk enjin melebihi 6000cc membuatkan anda fikir banyak kali. Tapi ingat Hummer H2 dan Hummer H3 adalah kenderaan yang berbeza dengan Hummer H1 walaupun rekaan luarnya nampak sama.

Google ads
Back to top button