Buletin

TERRADYNE GURKHA TERPAKAI UNTUK DIJUAL DI FACEBOOK. HARGA BERMULA RM1.6 JUTA

Penggemar jentera tentera sudah pasti akan tertarik dengan produk keluaran Terradyne Armored Vehicles, berpengkalan di Ontario, Kanada dikenali sebagai Gurkha.

Jentera itu telah berada di dalam produksi sejak tahun 2011 malah digunakan pasukan penguatkuasa dan agensi kerajaan di seluruh dunia, seperti di Kanada, Libya, Nigeria, Qatar, Singapura, Arab Saudi dan beberapa negeri Amerika Syarikat.

Kini, sebuah Terradyne Gurkha terpakai boleh dimiliki melalui laman Facebook pada harga bermula dari AS$385,000 (RM1,593,900).

Gurkha dibangunkan berdasarkan daripada Ford F-550 XL itu mendapat khidmat enjin diesel turbo V8 6.7 liter menjana kuasa 400 hp dan tork 1,356 Nm serta memiliki jarak perbatuan sekitar 6,598 km.

Penjual tersebut mendakwa Gurkha berkenaan telah dinaiktaraf dengan kelengkapan dan lapisan perlindungan spesifikasi tentera oleh Phoenix Coatings.

Ia turut dilengkapi  tayar run-flat, sistem suspensi jenis long-travel daripada Icon bernilai AS$27,500 (RM113,850), kaca setebal tiga inci dan bermacam penambahbaikan bernilai AS$11,000 merangkumi kemasan ruang kabin dan sistem bunyi.

Menurut penjual itu lagi, Gurkha tersebut dilengkapi B7 armor plating yang mampu bertahan serangan peluru .308 pada jarak 18 meter tanpa sebarang kerosakan yang nyata. – carscoops

Google ads
Back to top button