
DRAMA INFLUENCER TERBONGKAR, RUPANYA LARI KE NEGARA JIRAN
Misteri kehilangan pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, akhirnya terungkai apabila siasatan polis mendedahkan lelaki itu sebenarnya melarikan diri ke negara jiran.
Perancangan rapi yang disangka tragedi itu terbongkar selepas adiknya berusia 30 tahun, membuka mulut ketika disoal siasat oleh pihak polis susulan laporan kehilangan yang dibuat sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, adik mangsa pada mulanya membuat laporan palsu konon abangnya hilang ketika dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Muar untuk membaiki kereta.
“Hasil siasatan mendapati terdapat banyak keraguan terhadap laporan tersebut dan kami percaya kejadian itu direka bagi kepentingan peribadi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan juga menemukan bukti bahawa mangsa disyaki menenggelamkan kereta Perodua Axia milik isterinya ke dalam Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, sebelum melarikan diri.
“Adik mangsa turut mengaku bersubahat serta berpura-pura menyertai usaha mencari mangsa bagi mengaburi siasatan pihak polis,” katanya lagi.
Menurut Raiz Mukhliz, kedua-dua beradik itu kini sedang membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.
Kosmo! pada 15 Julai lalu melaporkan seorang pempengaruh permotoran dikhuatiri lemas selepas sebuah Perodua Axia ditemui terbabas ke dalam sungai di Kampung Tui, Pagoh. Mangsa, yang lebih dikenali sebagai Ija Nizaruddin, kali terakhir dilihat meninggalkan rumahnya di Johor Bahru sekitar jam 12 tengah hari sebelum kejadian. — KOSMO! ONLINE

