
BUAH MANGGA LEBIH PENTING
NEW DELHI – Sebuah klip video yang tular di India memaparkan suasana kecoh apabila puluhan penduduk berebut-rebut mengutip buah mangga yang bertaburan di jalan selepas sebuah lori terbalik, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Insiden itu berlaku baru-baru ini di Dehradun, sebuah bandar di negeri Uttarakhand.
Rakaman yang dimuat naik di platform X menerusi akaun @askbhupi menunjukkan orang ramai berpusu-pusu mengutip mangga-mangga tersebut tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Ada yang membawa plastik, guni malah bakul dari rumah untuk mengangkut hasil kutipan mereka.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu, namun tindakan penduduk terbabit mencetuskan perdebatan hangat dalam talian. Ramai netizen mengecam sikap mementingkan diri mereka yang lebih mengutamakan buah mangga berbanding nasib pemandu lori.
“Mereka semua pencuri, patut dipenjarakan!” tulis seorang pengguna. “Orang zaman sekarang suka mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri,” tambah yang lain. — AGENSI


