Buletin

DTMDT UNGGULI FSM 2025: ISYARAT BAHARU KEPADA EKOSISTEM TVET NEGARA

Dalam dunia sukan permotoran, kejayaan biasanya dikaitkan dengan belanjawan besar, peralatan canggih, dan sokongan industri yang mapan.

Tetapi, pasukan Dusun Tua Motorsports Development Team (DTMDT) membuktikan bahawa semangat, ketekunan, dan kecekapan teknikal yang diasah melalui latihan TVET mampu mencipta keajaiban.

Pada saingan Formula Student Malaysia 2025, DTMDT mencipta sensasi apabila merangkul Juara Keseluruhan bagi kategori 600cc.

Kejayaan itu bukan sekadar titik kemenangan semata-mata, malah hadir bersama dua lagi anugerah utama iaitu Juara Time Attack dan Best Car Design.

Kejayaan ini juga secara langsung mengangkat nama DTMDT sebagai antara pasukan paling berpengaruh dalam kalangan institusi pengajian teknikal dan vokasional di rantau ini.

Latar Belakang yang Membentuk Jiwa Juara

Berpangkalan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBNDT), pasukan ini terdiri daripada pelajar-pelajar TVET yang menggabungkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, fabrikasi, elektronik dan pengurusan pasukan.

Walaupun beroperasi dengan bajet yang jauh lebih kecil berbanding pasukan universiti awam dan swasta ternama, DTMDT berjaya merancang, membina serta menguji jentera lumba mereka sendiri, bermula dari lakaran pertama hingga ke pentas perlumbaan.

Anugerah Best Car Design yang dimenangi pasukan ini adalah bukti bahawa kejuruteraan bukan sekadar tentang kelajuan semata-mata.

Jentera mereka mempamerkan kefahaman mendalam terhadap prinsip aerodinamik, pengagihan berat, kecekapan brek, dan kawalan elektronik.

Selain itu, keupayaan mereka untuk menyesuaikan sistem pemanduan dengan perubahan keadaan litar juga menjadi faktor utama kemenangan dalam kategori Time Attack, satu disiplin perlumbaan yang menilai ketangkasan, ketepatan dan adaptasi dalam masa singkat.

Petunjuk Kepada Potensi TVET Negara

Kemenangan DTMDT bukan sekadar kejayaan satu pasukan. Ia mencerminkan kebangkitan satu gelombang baharu dalam pembangunan berkemahiran tinggi melalui pendidikan TVET.

Dalam ekosistem sukan bermotor yang sering dikaitkan dengan eksklusiviti, DTMDT menjadi lambang keterbukaan bahawa pelajar vokasional juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan pesaing dari institusi ternama.

Namun begitu, untuk momentum ini berterusan, beberapa pembaharuan strategik perlu dilaksanakan.

Pertama, kerajaan disaran menyalurkan peruntukan khas kepada pasukan motorsport dari institusi TVET, bukan sekadar untuk pertandingan, tetapi sebagai platform pembangunan berterusan.

Kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia mampu membuka ruang latihan berstruktur, bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga jurulatih dan tenaga pengajar.

Selain itu, industri automotif dan kejuruteraan tempatan harus memainkan peranan lebih aktif. Bukan hanya sebagai penaja, tetapi sebagai rakan pembangunan.

Perkongsian teknologi, bahan, dan kepakaran jurutera profesional boleh membentuk ekosistem yang lebih inklusif dan mampan.

Malah, pelajar seperti di DTMDT boleh menjadi kumpulan bakat yang dibentuk terus untuk keperluan industri masa depan.

Tidak kurang penting, institusi pendidikan sendiri perlu menyemak kembali pendekatan mereka terhadap bidang kejuruteraan dan kemahiran.

Integrasi elemen motorsport dalam kurikulum akan membuka ruang kepada pembelajaran secara kontekstual, di mana teori dan amali berinteraksi secara langsung.

Jika diberi peluang dan sokongan sewajarnya, DTMDT dan pasukan seangkatan dengannya boleh menjadi batu loncatan kepada kebangkitan sukan bermotor negara yang bersifat rakyat, teknikal, dan profesional – selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi berasaskan bakat tempatan.

Google ads
Back to top button