Artikel Pilihan

HANYA SEUNIT PORSCHE 917 DIHASILKAN – IA MASIH DIPANDU SETIAP HARI OLEH PEMILIK

Kesemua Porsche 917 merupakan jentera perlumbaan kecuali chasis nombor 30 yang diubahsuai kepada versi jalanan. Kenapa agaknya? Semuanya ialah kerana seorang lelaki yang bernama Teofilo Guiscardo Rossi di Montelera. Mesti korang tak kenal kan? Kami pun sama. Tapi rupanya mamat ini seorang yang berpengaruh, kaya dan merupakan pewaris keluarga Rossi yang juga merupakan salah seorang pemilik Martini & Rossi. Beliau lebih dikenali dengan nama Count Rossi.

Sekarang korang dah dapat bayangan kan kenapa Porsche 917K dengan liveri Martini sangat popular. Malah ia setanding dengan liveri Gulf yang dipopularkan oleh Steve McQueen di layar perak.

Pada tahun 1971, Porsche 917 dengan liveri Martini telah merangkul kejuaraan kali kedua di Le Mans 24 Hours dan Count Rossi selain dari menjadi seorang peniaga juga merupakan juara powerboat dunia sebanyak dua kali dan peminat sejati Porsche. Jadi bila beliau mengetuk pintu kilang Porsche dah mahukan sebuah 917K untuk kegunaan di jalan raya, Porsche terus bersetuju.

Menariknya mereka tidak menghasilkan sebuah unit yang baharu tapi mengambil chasis bernombor 30 dan kemudian mengubahsuainya mengikut kemahuan Count Rossi. Ia dilayangkan dengan cat berwarna perak Martini Racing, ia kini mempunyai sistem ekzos baharu, cermin sisi, signal membelok dan hon.

Bukan itu sahaja, ia juga turut mempunyai tayar gantian yang merupakan syarat penting kepada kereta untuk kegunaan di jalan raya. Asalnya kereta ini menggunakan nombor pendaftaran Alabama kerana kereta tersebut tidak boleh didaftarkan di Eropah.

Sebagai sebuah jentera perlumbaan. Porsche 917 memang mempunyai kabin dalaman yang cukup ringkas. Dalaman Kancil pekak pun rasanya lagi mewah dari 917 asal. Ia hanya mempunyai roda stereng, tombol gear, tiga pedal, meter-meter panduan, tali pinggang keledar dan dua tempat duduk sebagai memenuhi syarat perlumbaan.

Namun untuk model khas ini Porsche telah mereka kembali tempat duduk dengan kemasan kulit dan kali ini mereka mendapat sokongan pakar barangan mewah, Hermes. Kemasan pintu, bumbung dan papan pemuka kesemuanya bertemakan suede sama warna.

Selain daripada itu, kesemua elemen asal dikekalkan termasuklah tombol gear yang dihasilkan daripada kayu. Kenapa kayu? Sebab ringanlah bang. Oh ya, kalau korang masih lagi sibuk dengan tahyul tekan butang Start 18 kali tu, 917 ni lagi sempoi. Ia masih menggunakan kunci biasa yang perlu diputar untuk menghidupkan enjin. Mantap lah.

Kini jentera ini sudah berusia 50 tahun, menggunakan nombor plat UK dan masih dipandu hampir setiap hari oleh pemiliknya yang menetap di selatan Perancis. Baru-baru ini ia telah menjalani proses restorasi khusus pada bahagian cat dan kemasan dalaman. Memang ia akan masih bertahan untuk 50 tahun akan datang.

Elektrik mungkin ialah masa depan tapi kereta macam ni masih akan kekal dalam ingatan kaki-kaki kereta untuk selamanya.

Google ads
Back to top button