Buletin

F1 BAKAL PERKENAL SPRINT QUALIFYING SEBAGAI TARIKAN BAHARU

Formula Satu (F1) akan memperkenalkan tiga perlumbaan lebih pendek dalam format baharu pada kalendar tahun ini dikenali sebagai Sprint Qualifying.

Dalam format terbaharu itu, mata kejuaraan diberikan kepada tiga pelumba terpantas sekali gus menambahkan lagi debaran di atas litar pada perlumbaan hujung minggu.

Grand Prix (GP) British di Silverstone, GP Itali di Monza dan GP Sao Paulo bakal menjadi lokasi untuk tiga Sprint Qualifying tersebut.

Keputusan pelumbaan meliputi 100km itu akan menentukan petak Grand Prix yang akan kembali berlangsung dengan perlumbaan penuh seperti biasa pada Ahad.

Ketua Formula Satu, Stefano Domenicali berkata dia gembira dengan peluang baharu ini yang boleh menarik minat penonton lebih teruja menonton perlumbaan hujung minggu tahun 2021.

“Menyaksikan pelumba bertarung selama tiga hari pasti memberi pengalaman menakjubkan dan saya yakin pelumba menghargainya,” katanya.

Presiden FIA, Jean Todt mengalu-alukan langkah terbaru F1 bagi memeriahkan lagi perlumbaan yang mendapat sokongan penuh 10 pasukan.

“Saya bangga dengan F1 yang mencari kaedah baru bagi menambah daya tarikan perlumbaan pada hujung minggu. Ia akan menjadi kenyataan hasil kerjasama FIA, Formula Satu dan semua pasukan.”ujarnya. – skysports

Google ads
Back to top button