
EV TRACK DAY TERBESAR KINI KEMBALI GEGAR SEPANG, BERLANGSUNG 6 JUN 2026
Acara EV track day terbesar kembali ke Litar Antarabangsa Sepang pada 6 Jun 2026 menerusi edisi kedua yang dijangka menghimpunkan komuniti kenderaan elektrik dari seluruh negara.
Program yang berlangsung di litar penuh Sepang sejauh 5.543km itu akan bermula seawal jam 5.45 petang sebelum berakhir tengah malam.
Peserta berpeluang memandu EV masing-masing di laluan penuh Sepang menerusi sesi open track, termasuk di laluan utama dan selekoh teknikal North serta South Loop.


Turut disediakan sesi parade lap untuk mereka yang mahu menikmati pengalaman santai di atas litar.
Selain itu, acara ini turut menampilkan cabaran Time Attack bagi mencari EV terpantas, selain taxi ride bersama pemandu profesional untuk merasai sendiri prestasi EV berkuasa tinggi di Sepang.
Bagi pemilik EV yang mahu meningkatkan kemahiran pemanduan di litar, khidmat jurulatih profesional juga disediakan mengikut permintaan.

Bagi memudahkan acara, kemudahan pengecas DC turut disediakan di kawasan paddock menerusi kerjasama beberapa penyedia pengecas tempatan bagi memastikan peserta dapat menggunakan EV mereka tanpa risau mengenai jarak perjalanan atau baki bateri.
Dalam masa sama, pemeriksaan kesihatan bateri 12V juga ditawarkan secara percuma di lokasi acara, termasuk pilihan naik taraf kepada bateri sodium-ion yang lebih tahan haba dan lasak.
Edisi terdahulu mencipta perhatian apabila lebih 30 EV berjaya membuktikan keupayaan sebenar kenderaan elektrik di litar, termasuk model prestasi tinggi yang mampu memberi cabaran kepada kereta sport konvensional.



