Buletin

VOLVO EX30 TERBAKAR LAGI, THAILAND MAHU HERET KE MAHKAMAH

Pembuat kereta Sweden, Volvo Cars kini berdepan tekanan baharu di Thailand selepas dua lagi insiden kebakaran melibatkan SUV elektrik Volvo EX30 dilaporkan berkait dengan bateri kenderaan tersebut.

Perkembangan itu mendorong badan pemantau pengguna Thailand mempertimbangkan tindakan sivil terhadap Volvo Thailand serta pengedarnya, susulan kebimbangan terhadap risiko keselamatan model berkenaan.

Sebelum ini, Reuters melaporkan Volvo telah mengumumkan panggil balik global membabitkan lebih 40,000 unit EX30 berikutan kecacatan modul bateri yang boleh menyebabkan pek bateri menjadi terlalu panas dan berpotensi terbakar.

Menurut pihak berkuasa Thailand, aduan berkaitan risiko kebakaran kini akan dibawa ke jawatankuasa dalaman untuk tindakan lanjut. Setakat ini, sebanyak 45 pengguna dikatakan menuntut bayaran balik penuh bersama faedah.

Tindakan sivil itu bertujuan mendapatkan pampasan kepada pengguna dan bukannya hukuman jenayah terhadap syarikat.

Volvo dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak pemantau pengguna Thailand pada Khamis. Bagaimanapun, syarikat itu belum memberikan komen mengenai kemungkinan tindakan undang-undang tersebut.

Isu itu turut menambah rasa tidak puas hati pelanggan berhubung kelewatan penghantaran alat ganti dan modul bateri baharu.

Sejak Disember lalu, Volvo telah menasihatkan pemilik EX30 di beberapa negara termasuk Thailand, Australia, Britain dan Brazil supaya mengehadkan pengecasan bateri kepada 70 peratus sebagai langkah sementara keselamatan.

Namun, pihak berkuasa Thailand menyifatkan langkah tersebut masih tidak mencukupi.

Jurucakap Volvo berkata kelewatan penghantaran komponen turut dipengaruhi gangguan logistik akibat konflik di Iran. Walaupun begitu, syarikat menegaskan kes kebakaran masih dianggap sangat kecil, iaitu kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan kenderaan terjejas.

Volvo juga memaklumkan jumlah kenderaan yang terlibat dalam panggil balik kini dikurangkan kepada 37,802 unit berbanding 40,323 unit sebelum ini.

Ketua Pegawai Komersial Volvo, Erik Severinson mengakui pelanggan sememangnya kecewa dengan situasi tersebut.

Menurutnya, syarikat sedang mempercepatkan penghantaran modul bateri baharu ke pusat servis dan pengedar, namun beliau mengakui masih ada pelanggan yang terpaksa menunggu lebih lama daripada sepatutnya.

Dalam notis kepada pelanggan di Thailand, Volvo memaklumkan kerja pembaikan dijangka bermula 23 Mei ini, namun tempoh pembaikan mungkin berbeza mengikut negara.

Malah, seorang pemilik EX30 di New Zealand dilaporkan hanya akan menerima penggantian bateri pada suku ketiga tahun 2026.

Google ads
Back to top button