Buletin

HONDA BINA CIVIC TYPE R VERSI ‘TRACK MONSTER’, DIPERKENALKAN TAK LAMA LAGI

Honda nampaknya semakin hampir memperkenalkan versi lebih ekstrem bagi Honda Civic Type R, yang dibangunkan berasaskan konsep HRC yang dipertontonkan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini.

Menerusi satu video pembangunan terbaru, pengeluar Jepun itu memberi bayangan awal tentang hot hatch berprestasi tinggi yang lebih fokus kepada litar dan pemanduan agresif.

Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik bersama video tersebut, Honda mengesahkan model baharu itu sedang dibangunkan menggunakan teknologi daripada Honda Racing Corporation (HRC), selain menerima input terus daripada pemandu perlumbaan profesional.

Menurutnya, fokus utama model ini adalah untuk menawarkan pengalaman pemanduan “pure sports performance” yang lebih tajam berbanding Civic Type R standard.

Walaupun nama rasmi masih belum diumumkan, ramai menjangkakan ia bakal dikenali sebagai Civic Type R HRC.

Video pembangunan itu turut memaparkan jurutera Honda melakukan talaan aerodinamik serta sesi ujian di Litar Suzuka yang terkenal di Jepun.

Beberapa pemandu yang menguji jentera tersebut menyifatkannya sebagai lebih “race-oriented”, dengan respons pemanduan lebih pantas serta tahap ketegaran casis yang dipertingkatkan.

Menurut mereka, HRC dilihat benar-benar memberikan perhatian penuh terhadap keseimbangan dan prestasi keseluruhan kereta ini.

Dari segi rekaan, model prototaip itu menampilkan beberapa perubahan agresif berbanding Type R biasa. Bahagian bampar hadapan kelihatan direka semula dengan bentuk lebih tajam dan bukaan udara lebih besar. Splitter hadapan juga lebih menonjol lengkap dengan sirip aerodinamik di bahagian sisi.

Honda turut menambah elemen aero pada bahagian fender hadapan, manakala skirt sisi dipercayai menerima rekaan lebih sporty. Di belakang pula, kereta ini dilihat menggunakan spoiler gentian karbon yang menyerupai aksesori rasmi Type R sedia ada.

Satu lagi perubahan menarik ialah penggunaan sistem ekzos baharu keluaran Akrapovič dengan konfigurasi tiga muncung bersaiz sama. Ini berbeza daripada reka bentuk tradisional Type R yang menggunakan satu paip tengah lebih besar bersama dua paip kecil di sisi.

Selain itu, radiator HRC turut jelas kelihatan di sebalik gril hadapan. Bahagian kabin pula dipercayai sudah menggunakan sistem infotainmen Google Built-in yang kini terdapat pada model Civic terkini, sekali gus memberi petunjuk bahawa model ini mungkin hadir bersama kemas kini besar untuk tahun 2027.

Walaupun pakej akhir masih belum dimuktamadkan sepenuhnya, laporan awal mendakwa versi paling ganas Civic Type R ini bakal diperkenalkan secara rasmi dalam tempoh kurang 100 hari lagi.

Google ads
Back to top button