
CHERY TIGGO 9 DIPERKENALKAN – 7 TEMPAT DUDUK, JANA 256PS, HARGA BAWAH RM189K
Chery terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran SUV tempatan menerusi pengenalan model baharu – sebuah SUV premium tujuh tempat duduk, Chery TIGGO 9.
Sebagai model paling premium dalam keluarga TIGGO setakat ini, TIGGO 9 hadir dengan enjin 2.0-liter TGDI yang dipadankan bersama transmisi 7-kelajuan Dual Clutch Transmission (DCT) serta sistem pacuan semua roda (AWD) pintar.
Unit kuasa tersebut menghasilkan 256PS dan 390Nm tork, sekali gus menjadikannya antara SUV paling berkuasa dalam segmennya. Penggunaan bahan api pula didakwa sekitar 8.3L/100km.
Dari segi dimensi, TIGGO 9 mempunyai panjang keseluruhan 4,810mm, lebar 1,925mm dan jarak roda 2,800mm, memberikan ruang kabin yang luas untuk penumpang serta kapasiti ruang kargo antara 448 hingga 2,065 liter.
Antara tarikan utama model ini ialah sistem AWD pintar yang menawarkan tujuh mod pemanduan terdiri daripada Eco, Normal, Sport, Snow, Mud, Sand dan Off-Road.

Penampilan luaran turut menyerlah dengan lampu utama LED bersama efek pencahayaan dinamik, gril hadapan 3D Diamond Embossed, rim aloi 20-inci, pemegang pintu jenis tersembunyi, bumbung panoramik dan lampu belakang LED penuh.
Masuk ke ruang kabin, TIGGO 9 tampil dengan pelbagai ciri premium termasuk tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan, selain pengudaraan untuk tempat duduk barisan kedua.
Bahagian pemandu pula menerima tempat duduk larasan kuasa 10-arah dengan fungsi memori, manakala penumpang hadapan mendapat pelarasan kuasa enam arah.
SUV ini juga dilengkapi sistem pendingin hawa automatik dwi-zon bersama panel kawalan khas untuk penumpang belakang bagi memberikan pengalaman perjalanan lebih selesa kepada semua penghuni kabin.

Dari sudut hiburan dan teknologi, TIGGO 9 menerima skrin infotainmen bersaiz 15.6-inci yang dijana cip Qualcomm Snapdragon 8155, selain menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem audio premium SONY dengan 14 pembesar suara termasuk speaker pada perehat kepala turut ditawarkan bagi memberikan pengalaman audio lebih imersif.
Turut melengkapkan kabin ialah pengecas telefon tanpa wayar 50W dengan sistem penyejukan terbina dalam, paparan Head-Up Display (HUD) serta pencahayaan ambient 64 warna.

Aspek keselamatan juga menjadi fokus utama menerusi kehadiran 23 fungsi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang menyokong pemanduan separa autonomi Tahap 2.5.
Selain itu, TIGGO 9 turut dilengkapi 10 beg udara, kamera panoramik 540 darjah dengan paparan casis lutsinar serta struktur badan menggunakan 85 peratus keluli berkekuatan tinggi untuk perlindungan lebih baik ketika kemalangan.
Untuk harga, Chery TIGGO 9 dianggarkan pada harga bawah RM189,000.
GALERI:




























