
EVOLUSI HONDA CRV 1.5V AWD. INI RAJA SUV
Pada tahun 2023, sebanyak 720,000 unit Honda CR-V telah terjual di seluruh dunia meletakkan model ini berada pada kedudukan nombor 5 untuk model terlaris. Walaupun CR-V bukanlah model pertama yang dihasilkan, tetapi ia kekal relevan sehingga hari ini disebabkan falsafah rekaannya.
Ia mestilah dihasilkan dengan menggunakan platform kereta, keselesaan pemanduan sama seperti memandu kereta sedan, jimat bahan api dan sebagai bonus ia mesti dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda untuk cengakaman yang bagus ketika melalui jalan tidak berturap
Untuk model terbaru, rekaan CR-V menggunakan rekaan yang hampir sama dengan rekaan Civic. Lebih kemas, lebih sedap mata memandang dan tiada garisan yang terlalu sibuk. Jika model lama nampak bulat, tinggi dan gemuk, rekaan terbaru CR-V nampak rendah disebabkan “shoulder line” semakin rendah.

Malah imej sporti diberikan dengan rekaan hud depan panjang sama seperti Honda Civic Type R FL5. Buat pertama kali juga, Honda CR-V menggunakan jeriji depan dengan kaedah “floating grille” ataupun Mesh Pattern Grille dengan logo Honda terapung di tengah jeriji
Garisan depan dikemaskan lagi dengan penggunaan krom, bersambung dengan shoulder line sehingga ke pintu ruang kargo belakang menghasilkan “unity design”, uniform dan pada masa yang sama nampak jantan.
Walaupun model baru ini nampak kecil berbanding model lama, tetapi angka yang diukur memberikan nilai yang berbeza. Jarak antara roda bertambah 40mm menjadi 2700mm, lebih lebar, lebih panjang tetapi direka dengan ketinggian yang sama.

Rekaan lampu baru juga memberikan imej korporat yang baru kepada CR-V, iaitu imej yang sama digunakan oleh Civic dan HR-V baru. Rekaan lampu belakang pula adalah mirip seperti lampu belakang Volvo XC-90. Tapi tidak terlalu kosong dengan kehadiran lekuk pada tiang D dan juga lampu belakang.
Khas untuk model AWD, ia diberikan ruang kelegaan permukaan jalan 208mm berbanding dengan model lain 198mm sahaja. Pintu kargo ruang belakang boleh diberikan bantuan kuasa elektrik, menyediakan ruang sekitar 589 liter atau boleh dibesarkan menjadi 1075 liter bila kusyen belakang dilipat.
Di sebalik pelapik ruang kargo belakang, CR-V masih mampu menyimpan tayar kecemasan bersaiz penuh, dengan ruang tersebut dipasang dengan bahan kedap bunyi (felt). Bahan kedap bunyi juga digunakan di bagaian perumah tayar di bahagian belakang.

Unit pandu uji kami datang dengan aksesori Modulo Bodykit yang merangkumi front grille garnish, front aero bumper, side step, dan juga rear under spoiler dengan kos tambahan sekitar RM 6000.
Rekaan dalaman CR-V juga membawa imej baru sama seperti yang digunakan oleh Honda Civic, ringkas, elegan, mewah dan juga sporti. Satu rekaan unik yang ada pada CR-V ialah mesh covered air vents dengan papan pemuka dan corong penyaman udara dalam satu rekaan dan komponen.
Skrin depan menggunakan saiz 9 inci menawarkan ciri sambungan Apple Car Play tanpa wayar dan Android Auto. Skrin meter digital pula bersaiz 10 inci menawarkan gabungan meter digital pelbagai maklumat serta ciri pengecas tanpa wayar.

Satu perkara yang kurang berkenan di mata penulis ialah corak kemasan kayu pada papan pemuka dan kemasan pintu, nampak terlalu klasik dan “tua”. Corak aluminium brush mungkin nampak leboh bergaya jika digunakan.
Namun rekaan ini ditemani dengan lampu kabin berwarna putih yang menawarkan suasana mewah pemanduan waktu malam. Terdapat 4 poin USB ditawarkan di dalam kabin dan 2 soket 180watt jika anda memerlukannya. Lampu kabin di atas syiling pula boleh dihidupkan dengan kaedah sentuhan, memang menarik,
Kelebihan Honda berbanding jenama lain ialah keupayaan mereka menyediakan kabin yang luas biarpun jarak antara roda adalah hampir sama. Ruang kaki adalah rata (walaupun ada sistem AWD) dan penyandar tempat duduk belakang boleh dilaras bagi memberikan sudut yang lebih selesa untuk berehat

Selain kusyen belakang menyediakan perehat tangan di bahagian tengah, terdapat juga corong penyaman udara dengan ciri 2 zon suhu serta pelarasan automatik
Kuasa CR-V ditawarkan daripada enjin 4 silinder 1500cc, enjin L15 yang paling lama dan moden yang pernah diperkenalkan oleh Honda. Generasi enjin L15 pernah ditawarkan dalam varian IDSi, VTEC, i-VTEC, VTEC Turbo dan paling terbaru dab berkuasa ialah varian turbo yang digunakan oleh CR-V
Ia menjana 190 kuasa kuda dan 243Nm tork dengan menggunakan nisbah enjin mampatan dikurangkan untuk dipadankan dengan boost turbo setinggi 18.5 psi. Varian ini juga menggunakan sistem VTEC pada injap ekzos bagi memaksa sistem turbo bekerja tanpa isu turbolag

Berikut ialah pemerhatian terhadap Honda CR-V AWD selepas memandu hampir 500km
1. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 10.4 saat, sebenarnya lebih perlahan jika dibandingkan dengan varian pacuan 2 roda. Tetapi ia tidaklah menyebabkan anda rasa lemau kerana halaju maksimum ialah sekitar 200km/jam
Bacaan bahan api adalah mengagumkan bagi sebuah crossover besar sebesar 1668kg lengkap dengan pacuan semua roda. Ia berupaya memberikan bacaan 14.5km/liter berbanding dengan bacaan rasmi 13.3km/liter
2. Suspensi – secara keseluruhan tetapan suspensi termasuk spring dan penyerap hentak adalah lembut, namun rasa lembut ini membantu CR-V mengambil selekoh dengan lebih berkesan. Pertama ia membantu CR-V menjadi stabil ketika melalui selekoh berbonggol, tayar belakang tidak lagi melompat sebaliknya terasa lebih mencengkam

Kedua “weight transfer” berlaku dalam keadaan yang sangat progressif, menjadi semakin berat bermula dari permulaan selekoh, di tengah selekoh dan semasa keluar dari selekoh. Olengan cesi yang berlaku membantu menambah cengkaman.
Ketiga jika anda mengamalkan brek di garisan lurus sebelum mengambil selekoh, bahagian belakang terasa “nakal” sedikit seperti oversteer tetapi ia berlaku dalam keadaan terkawal dan sebenarnya menyeronokkan.
Jika CR-V melalui jalan tidak rata, ia akan menyerap kerosakan jalan dengan baik sekali. Cuma bahagian depan akan terhenjut 2 kali sebelum keadaan menjadi stabil. Mungkin tetapan penyerap hentak terlalu lembut. Namun secara keseluruhan pengendalian CR-V baru ini lebih sedap dari yang lama.

3. CVT – CR-V mengekalkan CVT sebagai pilihan transmisi tunggal. CVT perlu ditekan lembut dan dibiarkan bergolek terlebih dahulu sebelum anda menekan pedal rapat ke lantai. Inilah karekter CVT yang harus anda biasakan bagi CR-V
Operasi merayap (creep) ketika memandu perlahan sangat lancar. Untuk pemanduan seharian pun penulis tiada isu dengan CVT kerana sudah 4 kereta penulis menggunakan CVT, dan pada hemat penulis CVT adalah sangat bagus untuk operasi seharian
Cuma jika anda ingin memerah kuasa pada RPM tinggi, barulah wujud sedikit bunyi (CVT Noise) dan enjin L15 ini terasa diperah bagi memotong kenderaan perlahan di depan.

4. Stering – pusingan ke kiri atau kanan hanyalah sekitar 1.4 pusingan sahaja, dan tindakbalas cesi terhadap input stering adalah cepat. Diameter stering direka untuk sedap dipegang manakala butang kawalan rotari senang untuk digunakan
5. Brek – respon brek adalah cepat tetapi dibuat secara lembut walaupun pedal ditekan laju. Ia memberikan perspekstif mahal dalam kualiti brek. Tau-tau sudah berhenti dan badan pemandu langsung tidak rasa terkejut.
6. Terasa lagi mewah dan mahal – model baru juga diberikan beberapa ciri yang biasa dijumpai pada kenderaan buatan Continental. Antaranya ialah cecair pencuci cermin kini keluar melalui getah pengelap cermin, cermin sisi akan tunduk ke bawah setiap kali anda mengundur ke belakang dan juga penutup enjin kini menggunakan kaedah damper.

Bagi aspek keselamatan, semua varian adalah lengkap dengan ciri keselamatan aktif Honda Safety Sense yang merangkumi brek kecemasan, sistem pemanduan adaptif, Auto High Beam, sistem pemantauan tekanan angin tayar, kamera 360 darjah, dan juga Honda Lane Watch
Namun sistem Honda Lane Watch juga memberikan kelemahan pada CR-V kerana ia tidak menyediakan ciri Rear Cross Traffic Alert, menyukarkan ketika anda cuba mengundur keluar ke jalanraya sibuk. Kualiti kamera Honda Lane Watch juga adalah kurang memuaskan.
Namun dari segi penawaran dan juga sasaran pengguna, penulis rasakan ia adalah pilihan yang sesuai jika anda memerlukan sebuah kenderaan untuk membawa bos besar melawat tapak projek ataupun ketika melalui jalan ofroad ringan

Mana sesuai untuk membawa bos anda yang memakai tali leher dan lengkap dengan sut menaiki trak pikap kan. Dengan harga jualan sekitar RM 181,900 Honda CR-V AWD membuktikan crossover adalah sebuah kenderaan pelbagai guna dengan keupayaan merentasi pelbagai permukaan jalan dengan mudah

