Buletin

FOTON AUMARK S EURO 5 AMT DILANCARKAN – HARGA MULA RM128K

Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) melancarkan trak ringan terbaharunya, Foton Aumark S Euro 5 AMT, sempena Malaysia Commercial Vehicle Expo 2026 (MCVE 2026).

Pelancaran ini juga sekali gus mencipta sejarah sebagai trak komersial jenama China pertama di Malaysia yang hadir dengan transmisi Automated Manual Transmission (AMT).

Kehadiran model baharu ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memenuhi keperluan sektor logistik bandar yang semakin berkembang, khususnya dalam operasi penghantaran jarak dekat dan “last-mile delivery”.

Foton Aumark S Euro 5 AMT dibangunkan dengan fokus terhadap keselesaan pemandu dan penjimatan kos operasi.

Penggunaan transmisi AMT enam-kelajuan daripada ZF membolehkan pertukaran gear dilakukan secara automatik dan lebih lancar, sekali gus membantu mengurangkan keletihan pemandu ketika berdepan trafik bandar yang kerap berhenti dan bergerak.

Model ini menggunakan enjin Cummins ISF 3.8-liter empat silinder turbo yang kini mematuhi piawaian pelepasan Euro 5.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa 154PS pada 2,600rpm serta tork maksimum 500Nm antara 1,200 hingga 1,900rpm, dengan kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi AMT baharu itu.

Menurut ATM, kombinasi enjin Euro 5 dan transmisi automatik tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan bahan api, malah turut membantu mengurangkan kos penyelenggaraan menerusi sela servis lebih panjang.

Sistem AMT itu juga dijangka membuka peluang kepada lebih ramai pemandu baharu termasuk golongan wanita untuk menyertai industri logistik.

Dari aspek praktikaliti, trak ini direka untuk operasi penghantaran moden dengan konfigurasi badan yang fleksibel dan mudah dikendalikan.

Ia mempunyai dimensi panjang 6,930mm, lebar 2,060mm dan tinggi 2,250mm, selain jarak roda 3,800mm. Berat kasar kenderaan (GVW) pula berada antara 7,500kg hingga 9,900kg.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan menerusi sistem seperti;

  • Anti-lock Braking System (ABS)
  • Anti-Slip Regulation
  • Hill Start Assist

Sebagai sebahagian daripada program “Super Truck Global Innovation Alliance”, Aumark S dibina menggunakan struktur kabin yang memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa ECE R29.

ATM turut mendakwa trak ini telah menjalani ujian ketahanan melebihi tiga juta kilometer dalam pelbagai keadaan operasi.

Pelancaran Aumark S Euro 5 AMT juga melengkapkan penawaran trak AMT Foton di Malaysia selepas pengenalan model trak berat Foton Auman R Euro 5 AMT tahun lalu.

Kedua-dua model tersebut mewakili hala tuju baharu Foton dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan lebih moden dan cekap untuk segmen tugas ringan serta berat.

Selain model diesel, ATM turut menawarkan Foton eAumark sebagai alternatif elektrik sepenuhnya bagi syarikat yang mahu beralih kepada operasi lebih lestari dan rendah emisi.

Dalam masa sama, penawaran Foton Bus pula memperluaskan lagi portfolio syarikat dalam sektor mobiliti penumpang.

Foton Aumark S Euro 5 AMT dipasarkan pada harga bermula RM128,800 dan hadir bersama jaminan enam tahun atau 300,000 km.

Semua model kenderaan komersial Foton di Malaysia turut disokong oleh program Foton Total Care di bawah rangkaian servis Tan Chong Group yang menyediakan akses servis, alat ganti tulen, bantuan kecemasan 24 jam serta sokongan pengurusan armada untuk pelanggan perniagaan.

GALERI:

Google ads
Back to top button