Buletin

MERCEDES-AMG GT 4-DOOR COUPÉ BAHARU TAMPIL DENGAN KUASA 1,169HP

Selain memperkenalkan AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé, Mercedes-Benz Malaysia turut mempertontonkan Mercedes-AMG GT 4-Door Coupé serba baharu yang menandakan era baharu prestasi elektrik untuk jenama AMG.

Model ini dibina menggunakan seni bina khusus AMG.EA dan menjadi antara kenderaan elektrik berprestasi tinggi paling berkuasa pernah dihasilkan Mercedes-AMG.

Jentera elektrik empat pintu ini menggunakan tiga motor axial-flux yang dibangunkan khas serta dipadankan dengan bateri berprestasi tinggi berasaskan teknologi yang diinspirasikan daripada Formula 1. Gabungan tersebut membolehkan ia menghasilkan kuasa sehingga 1,169hp dan tork maksimum 2,000Nm.

Prestasi yang ditawarkan cukup luar biasa apabila mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.4 saat, menjadikannya antara model AMG terpantas pernah dihasilkan. Kelajuan maksimum pula dihadkan kepada 260 km/j.

Model ini menggunakan bateri berkapasiti 106kWh dengan sistem elektrik 800 volt yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350kW.

Dengan teknologi tersebut, tahap bateri boleh ditingkatkan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa hanya 16 minit, manakala jarak perjalanan mencecah sehingga 697 kilometer mengikut kitaran WLTP.

Bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih emosional, Mercedes-AMG membangunkan sistem AMGFORCE S+ yang menghasilkan karakter bunyi seakan-akan enjin V8 tradisional.

Sistem ini menggunakan lebih 1,600 fail audio untuk menghasilkan bunyi yang berubah mengikut gaya pemanduan dan situasi semasa.

Dari sudut pengendalian, model ini dilengkapi sistem AMG ACTIVE RIDE CONTROL, stereng gandar belakang aktif sehingga enam darjah serta sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ yang mampu mengagihkan kuasa secara pintar antara roda dan gandar.

Di dalam kabin, AMG GT 4-Door Coupé menampilkan susun atur yang berorientasikan pemandu dengan paparan digital besar, sistem operasi MB.OS, paparan penumpang hadapan bersaiz 14-inci, sistem audio Burmester 3D serta fungsi AMG Track Pace untuk kegunaan litar.

Mercedes-Benz Malaysia menganggarkan harga model ini bermula dari RM1.29 juta di Semenanjung Malaysia.

GALERI:

Google ads
Back to top button