Buletin

GEELY BATTLESHIP 700 JADI TARUHAN BARU DI CHINA – KUASA SEHINGGA 1,113HP, JARAK GERAK 1,770KM

GEELY Galaxy mengesahkan pelancaran rasmi SUV lasak baharunya, Battleship 700, di pasaran China pada 10 Oktober ini.

Model yang diinspirasikan daripada konsep Galaxy Cruiser itu telah menarik perhatian luar biasa apabila menerima 43,900 tempahan awal dalam tempoh sejam selepas tempahan dibuka.

Battleship 700 dibangunkan berasaskan sistem hibrid elektrik pacuan semua roda Thor EM-T yang menggabungkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Pelanggan boleh memilih antara enjin petrol turbo 1.5 liter atau 2.0 liter, yang dipadankan dengan sistem tiga motor elektrik bagi menghasilkan prestasi tinggi.

Bagi varian paling berkuasa, gabungan enjin dan motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 830kW atau bersamaan 1,113hp. Angka itu membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.95 saat, setanding beberapa model prestasi tinggi di pasaran.

Dari segi tenaga, Battleship 700 menggunakan bateri litium besi fosfat (LFP) CATL berkapasiti 47.14kWh. Ia mampu bergerak sehingga 305 kilometer dalam mod elektrik sepenuhnya mengikut kitaran CLTC, manakala jarak perjalanan gabungan mencecah lebih 1,770 kilometer.

Keupayaan luar jalan turut menjadi fokus utama model ini. Battleship 700 dilengkapi suspensi hidraulik aktif, sistem redaman CCD dan suspensi pintar yang direka untuk memberikan keselesaan lebih baik di pelbagai permukaan jalan.

Menggunakan bahasa reka bentuk yang digelar “Oriental Lion”, bahagian hadapan menampilkan lampu utama “Sky Eye”, lampu siang LED melintang penuh serta logo bercahaya. Penampilannya turut diperkukuh dengan dimensi besar dan ciri-ciri yang sesuai untuk aktiviti off-road.

Antara spesifikasi utama termasuk sudut pendekatan 30 darjah, sudut pelepasan 31 darjah serta jarak kelegaan tanah minimum 233 mm, membolehkannya meredah laluan mencabar dengan lebih yakin.

Spesifikasi Ringkas Geely Battleship 700

  • Panjang: 5,085mm
  • Lebar: 1,999mm
  • Tinggi: 1,895mm hingga 1,925mm
  • Jarak roda: 2,900mm
  • Bateri: 47.14kWh LFP CATL
  • Jarak elektrik penuh: 305km (CLTC)
  • Jarak gabungan: lebih 1,770km
  • Kuasa maksimum: 1,113hp
  • Pecutan 0-100 km/j: 3.95 saat

Di ruang kabin, Battleship 700 menawarkan sistem interaksi lima skrin, tempat duduk hadapan dengan fungsi urutan 14 titik serta peti sejuk berkapasiti 18.5 liter yang boleh dibuka dari kedua-dua arah.

Bagi membantu pemanduan di laluan mencabar, SUV ini dilengkapi casis digital semua permukaan dengan 17 mod pemanduan termasuk mod “Crab Walk” dan “Waltz Turn”, yang membolehkan radius pusingan dikurangkan kepada hanya 3.36 meter.

Turut tersedia ialah sistem LiDAR yang dipasang pada bumbung bersama teknologi bantuan pemanduan pintar G-ASD G-Pilot, yang menyokong fungsi navigasi autonomi di lebuh raya dan kawasan bandar.

Google ads
Back to top button