
MERCEDES-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ COUPÉ DIPERKENALKAN DI MALAYSIA, ANGGARAN HARGA BERMULA RM2.09 JUTA
Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé baharu, sebuah jentera prestasi tinggi yang dibangunkan dengan fokus kepada pengalaman pemanduan di litar tanpa mengorbankan keselesaan untuk kegunaan harian.
Model generasi kedua ini turut diperkenalkan sempena kembalinya Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada 2017.
Dikuasakan enjin V8 biturbo 4.0 liter yang telah dipertingkatkan, model ini menghasilkan kuasa maksimum 612hp dan tork 850Nm.

Peningkatan kuasa dan tork berbanding AMG GT 63 standard dicapai menerusi talaan semula unit kawalan enjin, sekali gus memberikan prestasi yang lebih agresif terutama ketika dipandu di litar.
Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui sistem AMG Performance 4MATIC+ dan transmisi AMG SPEEDSHIFT MCT 9G. Hasilnya, kereta sport dua pintu ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 317 km/j.
Bagi memastikan prestasi optimum ketika dipandu secara agresif, Mercedes-AMG turut menambah baik sistem penyejukan dengan radiator tambahan, sistem penyejukan aktif untuk diferensial serta aliran udara yang lebih cekap ke sistem brek.

Pada masa sama, pakej aerodinamik baharu membantu mengurangkan daya angkat di gandar hadapan dan meningkatkan daya tekan di bahagian belakang bagi menghasilkan kestabilan yang lebih baik pada kelajuan tinggi.
Dari segi penampilan, AMG GT 63 PRO tampil dengan pakej luaran gentian karbon, rim tempa AMG bersaiz 21-inci, sayap belakang tetap serta pakej AMG Night Package II yang menyerlahkan karakter agresif model ini.
Bahagian kabin pula menampilkan tempat duduk AMG Performance, kemasan gentian karbon, sistem infotainmen MBUX dan sistem audio Burmester.

Mercedes-AMG turut menawarkan Motorsport Collectors Edition yang terhad kepada hanya 200 unit di seluruh dunia.
Edisi khas ini menampilkan elemen rekaan berinspirasikan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula One termasuk kemasan luaran berwarna hitam dengan aksen PETRONAS.
Harga anggaran bagi Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé bermula dari RM2.09 juta, manakala Motorsport Collectors Edition ditawarkan pada harga RM2.59 juta di Semenanjung Malaysia.
GALERI:



















