Buletin

JAC N90 SERBA BAHARU DILANCARKAN – TAWAR TORK 540NM, HARGA MULA RM118K

Pasaran trak komersial tempatan menerima satu lagi pilihan baharu apabila JAC Auto Malaysia memperkenalkan trak tugasan ringan JAC N90 serba baharu.

Dibangunkan bagi operasi harian yang memerlukan ketahanan tinggi serta penggunaan bahan api lebih cekap, JAC N90 hadir dengan gabungan prestasi mantap, ciri keselamatan moden dan keselesaan pemandu yang dipertingkatkan.

Model ini juga direka untuk menyokong operasi penghantaran jarak jauh serta penggunaan intensif di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Dari segi spesifikasi, JAC N90 dibina dengan Gross Vehicle Mass (GVM) 7.5 tan, sekali gus menjadikannya sesuai untuk pelbagai aplikasi komersial.

Pengguna turut diberikan pilihan beberapa konfigurasi jarak roda antara 3,365mm hingga 4,800mm bagi memenuhi pelbagai jenis badan kenderaan seperti kotak kargo, peti sejuk bergerak, badan binaan dan kegunaan khas lain.

N90 menggunakan enjin Cummins B4.5 Euro 5 yang dipadankan bersama transmisi Eaton-Fuller ESO-6106A.

Menurut JAC, enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 118kW pada 2,300rpm serta tork setinggi 540Nm yang tersedia antara 1,100 hingga 1,800rpm.

Julat tork yang luas itu membantu trak beroperasi dengan lebih stabil ketika membawa muatan berat atau bergerak di laluan mencabar.

Selain itu, operasi enjin pada kelajuan lebuh raya sekitar 80 hingga 90km/j dikatakan berada dalam julat rpm optimum antara 1,200 hingga 1,600rpm, sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan api sekitar tiga hingga lima peratus berbanding transmisi pacuan terus konvensional.

Bahagian kabin turut menerima perhatian menerusi rekaan generasi terkini yang memberi fokus terhadap keselesaan pemandu ketika operasi harian.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuk tempat duduk suspensi udara, perehat tangan boleh laras serta sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.4-inci bersama paparan kluster instrumen LCD.

Dalam aspek keselamatan, JAC N90 dilengkapi beberapa teknologi bantuan pemanduan moden seperti;

  • Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
  • Aturan Gelincir Pecutan (ASR)
  • Bantuan Mula Mendaki (HAS)
  • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)

Gabungan sistem tersebut membantu meningkatkan kestabilan trak ketika membawa muatan serta memberikan tahap kawalan lebih baik dalam pelbagai situasi jalan raya.

Beralih pada harga, JAC N90 kini ditawarkan di semua rangkaian pengedar sah JAC seluruh negara pada harga bermula RM118,000 untuk casis kosong.

Sebagai tambahan, model ini turut hadir dengan jaminan enam tahun atau 300,000km, bergantung mana yang tiba terlebih dahulu.

Pelanggan juga menerima manfaat program servis percuma setiap 10,000km bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang.

GALERI:

Google ads
Back to top button