
GENESIS GV80 COUPE - APABILA SUV MEWAH DAN COUPE BERSATU
Umum sememangnya mengenali jenama Genesis, sebuah jenama dari Korea yang mengkhususkan pasaran kenderaan mewah di pasaran Eropah terutamanya. Mempunyai model di kalangan model salon serta SUV, kini Genesis sahih akan menawarkan model terbaharu, Genesis GV80 Coupe.
Nawaitu pengenalan SUV Coupe ini sudah tentu mahu mencabar dua pesaing utama dalam segmen yang sama, BMW X6 dan juga Mercedes GLE Coupe, ironinya kedua model coupe tersebut berasal dari Jerman.

Genesis GV80 Coupe ini menggabungkan praktikal sebuah SUV, mewarisi reka bentuk dan prestasi model asas GV80, serta digabungkan dengan dinaik buah coupe. Maka terhasilkah sebuah SUV Coupe yang cukup cantik di pandangan mata. Pengenalan GV80 Coupe mengesahkan komitmen Genesis untuk menghasilkan kenderaan dengan prestasi luar biasa serta daya tarikan emosi.
Bahagian gril bercorak Double G-Matrix mengambil gaya pengenalan daripada Genesis dan menggandakannya untuk penampilan yang lebih sporty. Ia memanjang ke bampar, dengan acuan krom gelap dan jejaring untuk meningkatkan bahagian hadapan yang berani. Lampu utama LED kini dilengkapi dengan teknologi MLA (Micro Lens Array) yang dipasang secara berkembar atas bawah untuk memberikan pencahayaan yang lebih jelas di malam hari.

Di bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu yang kecil dan panjang dari sisi hingga ke bahagian tengah. Juga terdapat tip ekzos berkembar untuk kelihatan lebih sporty. Spoiler yang terletak di atas trunk lid itu memberikan aerodinamik terhadap penampilan SUV Coupe ini.
Tiga pilihan trenkuasa ditawarkan kepada pembeli, yang pertama menggunakan enjin 3.5 liter V6 Twin Turbo dengan 48V electric supercharger (e-S/C) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 415 PS dan 549 Nm. Satu lagi enjin 3.5 liter V6 Twin Turbo menghasilkan kuasa 380 PS dan 529 Nm. Satu lagi pilihan enjin adalah 2.5 turbo dengan kuasa hanya 304 PS dan 421 Nm.

Genesis GV80 Coupe ini turut dilengkapi dengan sistem Flex Brake yang membolehkan pemandu memilih bagaimana untuk memberhentikannya, dengan pilihan Comfort untuk pemberhentian yang lebih santai dan stabil manakala pilihan Sport untuk memberikan responsif yang lebih jitu terhadap pemberhentian dikala sedang memecut laju.
Dan walau pun ini adalah sebuah SUV Coupe yang mewah yang mana tidak mungkin pemiliknya akan memandu masuk hingga ke dalam hutan, namun GV80 Coupe ini turut dilengkapi dengan ciri Terrain Mode yang membolehkan tetapan Snow, Mud atau pun Sand dipilih secara manual atau pun tetapan Auto untuk melepasi sebarang bentuk muka bumi yang sedikit ekstrem.

Penampilan ruang dalaman kelihatan agak sporty dengan stereng rekaan D serta mempunyai paddle shift untuk lebih feel sebuah kenderaan sporty. Kemasan karbon turut dikenakan bagi lebih menonjolkan ciri berprestasi pada SUV Coupe ini. Tempat duduk pula dibaluti dengan kulit Nappa supaya mengimbangi ciri premium yang sepatutnya ada.
Paparan OLED 27 inci serta saluran pendingin hawa yang nipis mencipta kehadiran visual yang elegan mampu menarik perhatian semua orang yang memasuki kabin. Oh ya, menambahkan lagi ciri premium yang adalah penggunaan pengenalan cap jari untuk menghidupkan enjin tanpa memerlukan sebarang kunci. Dan untuk mengunci serta membuka pintu, ianya boleh dikawal melalui telefon pintar serta ianya boleh dikongsikan aplikasi tersebut dengan ahli keluarga terdekat. Jenuh juga kalau habis bateri tiba – tiba kan.
Harga permulaan untuk Genesis GV80 ini dijangkakan pada aras $60,000 (RM281,070). Lebih murah berbanding dua model SUV Coupe buatan Jerman.
BACA : GENESIS GV80 COUPE CONCEPT, SUV SPORTI, 4 KERUSI BUCKET!



