
KENAPA MODEL MITSUBISHI EVOLUTION BERKUBUR?
Mitsubishi Evolution adalah satu jenama atau lambang bagaimana sebuah kereta sedan 4 pintu boleh menjadi kegilaan remaja satu ketika dulu, bukannya kereta supercar eksotik daripada Itali. Ia hanya sebuah sedan lengkap dengan bonet belakang dan boleh memuatkan 4 ke 5 penumpang dengan selesa.
Secara jujurnya tiada yang lebih mempesonakan daripada melihat sebuah Mitsubishi Evolution III dalam filem yang dibintangi oleh Jackie Chan iaitu Thunderbolt dan juga bagaimana kelincahan Mitsubishi Evolution IV dalam filem perisik Who Am I mengalahkan BMW 3 Series dalam aksi kejar mengejar
Jackie Chan dan Mitsubishi sebenarnya telah menandatangani satu kontrak selama lebih 30 tahun yang akan menyaksikan Jackie Chan menggunakan semua kenderaan Mitsubishi dalam filemnya. Ia adalah satu pencapaian yang menarik bagi kedua dua pihak, namun bagi Mitsubishi pencapaian terbaik adalah dalam acara perlumbaan rali.
Bagi membuktikan jenama Mitsubishi adalah setanding dengan Honda, Nissan, dan juga Toyota yang telah jauh mendahului dalam perlumbaan, Mitsubishi memilih untuk memulakan karier perlumbaan mereka dengan acara rali pada tahun 1967 dengan Southern Rally Cross Australia dengan model Colt.
Kehebatan jenama Mitsubishi ini diteruskan lagi dengan model Galant GSR pada tahun 1973 dengan 4 daripada 5 jentera ini memenangi perlumbaan pada kedudukan 1, 2, 3, dan 4. Bagi peminat Mitsubishi, ia adalah satu kebanggaan apabila melihat kereta yang dipandu oleh mereka menjuarai perlumbaan WRC dan jualan Mitsubishi meningkat naik.
Mitsubishi membuat kemunculan semula dalam arena rali dengan menggunakan Galant VR4 dengan enjin 4G63 2000cc turbo yang menjana sehingga 300 kuasa kuda, sistem pacuan semua roda dan sistem stering 4 roda menyaksikan Mitsubishi bangkit menjadi kuasa dominan perlumbaan rali
Namun menjelang tahun 1990an, peraturan baru menyaksikan model Galant sebenarnya terlalu besar untuk perlumbaan rali yang semakin mencabar dan Mitsubishi menghasilkan satu model yang cukup dikenali iaitu Lancer dimana model ini lebih kecil daripda Galant dan lebih besar daripada model kei car.
Biarpun jentera Mitsubishi Lancer ini membuat kemunculan pada tahun 1992, ia hanya berjaya menamatkan perlumbaan dengan bergaya pada tahun 1996 dengan model Evolution 3, seterusnya 1997 dengan Evolution 4, 1998 dengan Evolution 5 dan 1999 dengan Evolution 6 bersama Tommi Makinen sebagai pemandu
Jika anda masih ingat, sebuah model Mitsubishi Evolution 8 talaan khas mampu mengejar Lamborghini yang dipandu oleh pelumba profesional di litar Top Gear. Keadaan ini memperkukuhkan lagi reputasi Evo sebagai sebuah jentera tak terkalah
Namun apa yang berlaku sebaliknya agak tragis dimana model terakhir iaitu Mitsubishi Evolution X (10) berakhir dengan pengeluarannya dihentikan terus pada bulan April 2016. Semenjak dari itu, Mitsubishi tidak lagi menghasilkan model prestasi tinggi dan hanya memberi fokus kepada SUV, crossover dan trak pikap.
Jadi apa yang membuatkan Mitsubishi meninggalkan semua legasi mereka dalam perlumbaan dan memberi fokus kepada SUV/crossover?
Jawapan yang pendek ialah, kehendak pelanggan yang kini beralih arah kepada SUV/crossover.
Walaupun terdapat segelintir peminat yang sanggup berhabis duit untuk membeli model prestasi tinggi daripada Mitsubishi, namun kuasa beli di dunia sebenarnya telah beralih kepada pembeli kelas pertengahan yang memerlukan sebuah kenderaan yang praktikal, boleh diharap dan menjimatkan bahan api.
Sekiranya Mitsubishi mahu menghasilkan sebuah model prestasi tinggi, Mitsubishi perlu berhabis duit yang banyak untuk kajian dan pembangunan dengan jaminan keuntungan yang belum pasti balik modal (break even) kepada Mitsubishi.
Sebagai contoh, syarikat yang kaya raya seperti Toyota pun memerlukan bantuan BMW bagi menghasilkan semula model Supra dan pada masa yang sama memerlukan kerjasama Subaru untuk menghasilkan model GR 86.
Malah kereta kompak prestasi tinggi iaitu GR Yaris yang dihasilkan sendiri oleh Toyota memerlukan mereka untuk menjual sehingga 20,000 unit hanya untuk balik modal. Jadi bagaimana sebuah syarikat yang kecil seperti Mitsubishi ingin menghasilkan sebuah kereta sport yang susah untuk dijual kepada pengguna?
Malah jika anda ingat, Mitsubishi sebenarnya berada dalam keadaan yang sukar beberapa tahun lepas sehingga terpaksa diselamatkan oleh pakatan Nissan-Renault dengan pembelian saham bernilai 2.2 billion USD pada yahun 2016
Untuk memastikan kelansungan perniagaan, Mitsubishi perlu menukar fokus mereka untuk membina kenderaan yang diperlukan oleh pengguna di seluruh dunia. Sebuah kenderaan yang efisyen, tahan lasak, boleh digunakan pada semua keadaan dan memenuhi standard keperluan keselamatan global. Jawapan yang mudah ialah SUV dan crossover.
Mitsubihi membuat penyataan yang jelas dengan halatuju baru mereka, model prestasi tinggi seperti Mitsubishi Evolution tidak akan dihasilkan dalam masa terdekat, buat masa ini. Sebaliknya semua sumber yang ada pada Mitsubishi akan difokuskan kepada SUV, crossover, hibrid dan juga bahan api alternatif



